BERITA ABPBH

Ernie Zakri sokong minat seni anak

27 Jan 2026 | A’qilah Riduan

PUTRAJAYA: Penyanyi bervokal mantap, Ernie Zakri, mengakui sentiasa menyokong minat serta pilihan anak perempuannya, Nur Khawla Soleha, termasuk dalam bidang seni, namun dengan menetapkan batasan demi kebajikan dan perkembangan anak itu.

Ernie atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, berkata meskipun Khawla baru berusia empat tahun, anaknya itu sudah menunjukkan kecenderungan terhadap dunia seni, terutama ketika berada di atas pentas.

"Ya, anak saya memang masih kecil dan saya tak mahu terlalu 'push' dia. Memang tak boleh. Tapi nak buat macam mana, ibu dan ayah dia Ernie dan Syamel.

"Namun, alhamdulillah, saya nampak dia sendiri sangat suka dan menikmati kehidupan seperti ini, terutama apabila berada di atas pentas. Dia pernah cakap yang suatu hari nanti mahu berada di atas pentas seperti ibu dan ayahnya. Jadi, mungkin itu juga minat dia," katanya ketika ditemui pada acara Bulan Bintang: The Next Chapter Fashion Show 2026, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, nama Ernie bersama suami dan anak dipilih sebagai duta bagi kempen jenama pakaian hari raya popular itu.

Pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37 itu turut memaklumkan, sokongan diberikan kepada Khawla selari dengan pengalaman peribadinya yang menerima galakan daripada ibu bapa sejak kecil.

"Saya sendiri dipupuk oleh ibu bapa sejak kecil dan mula menyanyi pada usia lima tahun. Jadi, saya bersyukur kerana mereka sentiasa memberi sokongan.

"Jika Khawla memang cenderung ke arah bidang ini, kami sebagai ibu bapa akan cuba memberikan sokongan terbaik," katanya.

Bagaimanapun, Ernie menegaskan beberapa had ditetapkan bagi memastikan kebajikan dan emosi anaknya sentiasa terpelihara.

"Sudah tentu ada perkara yang kami hadkan, terutama melibatkan kanak-kanak. Baru-baru ini, dia terlibat dalam penggambaran bersama Bulan Bintang dan ada perkara yang kami ajar lebih awal.

"Kami pesan kepadanya, kalau rasa penat, kena cakap. Alhamdulillah, dia sangat komunikatif dan pihak berkenaan juga menghormati perkara itu. Ada batasan yang kami tetapkan sesuai dengan usia empat tahun," ujarnya.

Mengulas tawaran kerja yang diterima Khawla, Ernie berkata setakat ini dia tidak menolak, namun lebih berhati-hati dalam membuat pemilihan.

"Tahun ini, Khawla menerima beberapa tawaran seperti kempen. Sebagai ibu bapa, kami lebih melihat kepada apa yang terbaik untuk pembesaran dia serta persekitaran kerja.

"Setakat ini kami tidak menolak, cuma mengehadkan perkara tertentu. Tawaran lakonan mungkin agak sukar buat anak berusia empat tahun kerana jika berada di set, penggambaran boleh mengambil masa seharian," katanya.