KUALA LUMPUR: Penerima trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37, Ernie Zakri, berkongsi momen 'sebalik tabir' memaparkan situasi mendebarkan sebelum dia akhirnya tiba tepat pada masanya untuk menerima pengiktirafan berprestij itu.
Menerusi perkongsian video di Instagram (IG), Ernie merakam detik dia dihubungi individu daripada pihak produksi yang bertanyakan keberadaannya sebelum memintanya berpatah balik ke lokasi acara, iaitu Hotel Premiera Kuala Lumpur, bagi menanti keputusan kemuncak ABPBH 37.
Ketika itu, Ernie yang masih tidak mengetahui perkara sebenar sedang berlaku, dilihat dalam keadaan berdebar sebelum mengambil keputusan untuk turun daripada kereta dan berlari menuju ke hotel tanpa berfikir panjang.
Dalam video berkenaan, Ernie sempat bertanya kepada pasukannya mengenai pertukaran pakaian. Namun, disebabkan kesuntukan masa, penyanyi lagu Masing-Masing itu memilih untuk terus bergegas ke lokasi acara dengan mengenakan pakaian yang sedang dipakai.
Rakaman itu turut memaparkan Ernie berlari sepantas mungkin di pinggir jalan sekitar ibu kota bagi memastikan dia dan pasukannya tiba tepat pada waktunya.
Ernie juga kelihatan kepenatan sebaik tiba di hotel sehingga terpaksa dikipaskan oleh urusetia acara sebelum dibawa masuk ke dalam dewan.
Pada ruangan kapsyen hantaran berkenaan, Ernie mengakui tidak menjangkakan dirinya akan meraih anugerah utama pada malam berkenaan, selain memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.
"Saya tak sangka, namun rahsia rezeki Allah SWT siapa yang tahu. Sangat indah, sangat manis.
"Saya kena marah sebab balik. Sebenarnya komitmen saya bersama Daia sudah selesai, jadi saya bertanya kepada beberapa pihak sama ada saya boleh pulang dan ada yang memberikan kebenaran.
"Maka, saya sarungkan sahaja tudung itu. Mohon maaf sekiranya ada menyusahkan beberapa pihak. Saya juga terkejut apabila tercalon dalam kelompok lima terbaik bagi kategori terakhir," tulisnya sambil menggunakan lagu terbaharunya, Perjalanan, sebagai muzik latar video.
Meninjau ruangan komen, rata-rata peminat menyifatkan momen berkenaan sebagai detik ikonik, malah ada yang berseloroh mengatakan Ernie juga berbakat dalam sukan larian pecut.
Terdahulu, Ernie mencuri tumpuan apabila tampil serba ringkas ketika menerima trofi Bintang Paling Popular ABPBH 37, malam tadi.
Ernie menaiki pentas hanya dengan mengenakan blaus rona merah jingga, lengkap bertudung lilit dan bersandal.
Dengan 124,448,198 undian, peminat memilih Ernie untuk mengungguli takhta Bintang Paling Popular ABPBH 37, menewaskan empat finalis lain iaitu Sweet Qismina, Emma Maembong, Wani Kayrie dan Tracie Sinidol.
Selain trofi, Ernie turut menerima trofi pewter berbentuk skor muzik dengan ukiran lengkuk bermotif 'reel' filem seberat 1 kilogram, hasil rekaan Tumasek Pewter, berserta wang tunai RM30,000.
Bertemakan SATU Keunggulan, ABPBH 37 diharumkan oleh Daia, jenama penjagaan cucian terkenal, manakala kafe gaya Eropah, DOME Café, tampil sebagai Rakan Bersama ABPBH 37.