Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Enggan bekerja lebih 12 jam sehari

19 Mar 2023 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Peluang bertapak di Indonesia tidak pernah diimpikan pelakon veteran, Chew Kin Wah, 58, atau nama Islamnya, Anuar Abdullah.

Bermula filem My Stupid Boss, semakin banyak tawaran membintangi filem diterima daripada produksi seberang.

Namun, aktor kelahiran Ipoh, Perak berkata, segala-galanya berpunca daripada aktor, Bront Palarae yang mencadangkan namanya kepada pengarah My Stupid Boss, mungkin tidak mendapat peluang bertapak di negara seberang.

Melebarkan sayapnya ke Indonesia sejak 2015, kini sudah hampir 12 filem dijayakan.

Namun, Kin Wah menyifatkan dirinya bernasib baik apabila bakat diterima produksi negara jiran.

"Saya bernasib baik diterima, ada yang mempersoalkan bagaimana saya boleh bekerjasama dengan produksi seberang?

"Sedangkan, aktor sehebat Remy Ishak dan Shaheizy Sam yang bahasa pertuturan bahasa Melayu bagus tidak mendapat peluang ini.

"Jujurnya, saya tidak mempunyai jawapan. Seperti saya katakan, mungkin nasib saya baik," katanya kepada BH Online.

Kin Wah terhutang budi dengan Bront Palarae yang mencadangkan namanya kepada pengarah My Stupid Boss, sekali gus mendapat peluang bertapak di Indonesia. - Foto IG Chew Kin Wah
Kin Wah terhutang budi dengan Bront Palarae yang mencadangkan namanya kepada pengarah My Stupid Boss, sekali gus mendapat peluang bertapak di Indonesia. - Foto IG Chew Kin Wah

Hampir tujuh tahun di Indonesia, Kin Wah sudah melakar beberapa kejayaan. Antaranya, dinobatkan Aktor Pendukung Pilihan, Festival Filem Tempo (FFT), Pemeran Pendukung Pria Terbaik di Indonesian Box Office Movie Awards dan Anugerah Piala Maya-6 pada 2017 menerusi watak Koh Ahfuk untuk filem Cek Toko Sebelah.

Katanya, dia diberi peluang membawakan pelbagai watak sepanjang berlakon di Indonesia.

"Situasi ini berbeza dengan tawaran diterima produksi tempatan disifatkan lebih terhad.

"Mungkin penulisan cerita di Malaysia belum berkembang seperti industri filem di seberang. Jadi, saya berpeluang membawakan pelbagai watak seperti jurulatih badminton dan berpeluang membintangi filem berunsurkan sejarah dan sastera.

"Tetapi, berbeza di Malaysia, saya hanya sering diberikan watak samseng atau tauke kedai runcit. Ada masanya timbul juga rasa kecewa, tetapi saya terima sahaja kerana mahu cari makan," katanya.

Sungguhpun, kata Kin Wah yang mula dikenali menerusi sitkom Kopitiam memegang pepatah, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri.

Lantaran itu, katanya, dia tidak bercadang berhijrah sepenuhnya ke Indonesia.

"Ramai menyangka saya sudah menetap di Indonesia, hakikatnya tidak. Ada masa saya di sana, sebahagian lagi masa di Malaysia, tergantung kepada tawaran," katanya yang menerima tawaran lebih lumayan berbanding di Malaysia.

Filem Cek Toko Sebelah membawa kejayaan besar buat Kin Wah apabila menggenggam beberapa trofi di Indonesia.
Filem Cek Toko Sebelah membawa kejayaan besar buat Kin Wah apabila menggenggam beberapa trofi di Indonesia.

Namun, katanya, kos sara hidup di Indonesia juga tinggi. Jadi, perlu bijak berbelanja supaya apa yang diterima berbaloi.

"Memang bayaran di Indonesia mahal, tetapi perlu diingat kos sara hidup seperti makanan dan cukai bukanlah murah. Jadi, saya perlu pandai berbelanja supaya bayaran diterima berbaloi," katanya.

Tambah Kin Wah, dia terbiasa mengikut cara kerja pembikin filem di Indonesia yang bekerja tidak melebihi 12 jam sehari.

"Syarat ini terbawa-bawa di Malaysia. Mujur syarikat produksi tempatan menerima syarat ditetapkan.

"Dalam filem My Stupid Boss, saya berlakon di samping pelakon gred A Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari dan Reda Rahadian, mereka memang menetapkan syarat tidak berlakon lebih 12 jam.

"Jadi, saya tidak akan berlakon lebih daripada 12 jam dan kini saya mempraktikkannya di Malaysia.

"Produksi tempatan memahami jika saya tidak mahu berlakon lebih 12 jam. Ini kerana saya tidak mahu mutu lakonan terjejas dan mengelakkan kesihatan terganggu," katanya.

Kin Wah pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik (Drama), Anugerah Skrin TV3 menerusi dtrama Mentari Terbit Lagi pada 2014.

Selain filem My Stupid Boss dan Cek Toko Sebelah, Kin Wah turut membintangi filem produksi seberang seperti Surat Kecil Untuk Tuhan, Susah Sinyal, Terbang: Menembus Langit, Dimsum Martabak, Bumi Manusia dan banyak lagi.