Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Emosi single Aina Abdul jentik hati

18 Sep 2021 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Bukan gimik, sebaliknya penyanyi Aina Abdul, 28, menerusi kemunculan single baharu yang menggunakan namanya dengan menggabungkan tiga lagu popular ciptaannya iaitu Sumpah, Semalam dan Sepi yang diberi nafas baharu.

Bagaimanapun, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani mohon maaf kepada sebahagian peminat yang kecewa dengan kemunculan single Aina Abdul itu.

Memilih tarikh Hari Malaysia untuk melancarkan single baharu itu selepas gimik promosi dilakukan Aina cukup dinantikan peminat sejak seminggu lalu.

Bagaimanapun, sebaik dilancarkan pada 16 September lalu, jam 9 malam, single Aina Abdul menerima reaksi berbeza daripada peminat.

Ada yang menyukai gabungan tiga lagu berhantu yang digabungkan dalam satu karya dan diberikan nafas baharu, namun tidak kurang juga kecewa kerana menyangkakan Aina akan menghadiahkan buah tangan baharu yang cukup dinantikan.

Aina menafikan, kemunculan single Aina Abdul adalah gimik, sebelum tampil dengan karya baharu dan segar.

Sebaliknya, penyanyi bersuara lunak yang berjaya membolosi pencalonan awal Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 menyifatkan kemunculan single Aina Abdul sebagai penutup tahun yang sukar buat penggiat muzik.

"Saya menerima pelbagai reaksi peminat sebaik single Aina Abdul dilancarkan. Ada suka, tidak kurang juga meluahkan kekecewaan. Saya mohon maaf kepada peminat yang kecewa, bagaimanapun saya sudah bersedia dengan kritikan.

"Walaupun ada yang menganggap single Aina Abdul sebagai lagu lama, namun ia adalah karya baharu kerana saya dan pasukan membuat susunan muzik baharu, begitu juga rakaman single ini. Malah, saya juga menyuntik emosi baharu ke dalam roh single itu.

"Jika peminat mahukan lagu baharu untuk tahun ini, saya minta maaf, ini adalah lagu penutup tahun ini. Lagipun, saya mempunyai banyak lagu baharu, malah single Sepi masih dalam rangka promosi.

"Jadi, saya mahu peminat menikmati emosi single Aina Abdul dan hayati dengan sepenuh jiwa, sebelum saya tampil dengan lagu baharu," katanya kepada BH Online.

Menampilkan video muzik ala ‘gotik’ dengan pemilihan latar warna merah dan hitam, Aina menggambarkan keperitan hidup dilalui rakyat Malaysia sejak pandemik COVID-19 menular. - Foto IG Aina Abdul
Menampilkan video muzik ala ‘gotik’ dengan pemilihan latar warna merah dan hitam, Aina menggambarkan keperitan hidup dilalui rakyat Malaysia sejak pandemik COVID-19 menular. - Foto IG Aina Abdul

Menampilkan video muzik ala 'gotik' dengan pemilihan latar warna merah dan hitam, Aina berkata, ia menggambarkan keperitan hidup yang terpaksa dilalui seluruh penggiat muzik dan rakyat Malaysia sejak pandemik COVID-19 menular.

"Gabungan single Aina Abdul itu adalah simbolik isi hati dan apa yang dirasai, selama ini. Ia disifatkan cukup berat untuk diekspresi kerana setiap lagu mempunyai cerita yang mendalam," katanya.

Penyanyi kelahiran program realiti, Mentor Legend pada 2014 itu berkata, single Aina Abdul juga membawa mesej setiap kesusahan dilalui, pasti ada sinar yang menanti di penghujungnya.

Single Aina Abdul hampir mencecah 150,000 tontonan dalam tempoh 48 jam dilancarkan.

Mengulas pencalonan dalam ABPBH 34 yang bertemakan #KITABERSAMA, Aina berkata, ia adalah satu lagi pencapaian untuk kerjaya seninya, tahun ini meskipun baru di peringkat awal pencalonan.

Tidak meletakkan harapan tinggi membawa pulang trofi idaman penyanyi itu, Aina berkata, dia hanya menyerahkan keputusan di tangan peminat kerana mereka lebih tahu siapa penyanyi yang layak menjulang trofi berkenaan.

"Alhamdulillah, saya gembira apabila dicalonkan sekali lagi dalam kategori Penyanyi Wanita Popular. Walaupun kemenangan di luar bidang kuasa, tetapi insya-Allah saya akan berusaha. Jika tidak menang, tidak mengapa, namun kalau menang, ia antara pencapaian terbaik.

"Lagipun, ABPBH untuk peminat, jadi biarlah peminat menentukan siapa yang lebih layak untuk menggenggam trofi Penyanyi Wanita Popular," katanya.