Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Tidak pernah hilang dari radar seni, namun, tidak banyak publisiti diberikan menjadi punca penyanyi jolokan Mariah Carey Malaysia, Idayu, 37, dianggap tidak lagi aktif dalam dunia nyanyian.
Hakikatnya, Idayu masih aktif, malah, sering menerima undangan memberikan ceramah dan mengajar vokal.
Biarpun nasib kurang menyebelahi ibu kepada Aryan Rifai ini. Bagaimanapun, ia sedikitpun tidak pernah mematahkan semangat, malah, tetap muncul dengan single baharu.
Juara AF Megastar 2017 itu menghadiahkan peminatnya menerusi lagu berjudul Jangan Menangis Cinta.
Karya ciptaan Mohariz Yaakup, manakala lirik oleh Siti Rosmizah adalah lagu runut bunyi untuk drama Jangan Menangis Cinta lakonan Remy Ishak, Amyra Rosli, Halim Radzi dan Rita Nadira yang mengisi slot Megadrama di Astro Ria.
Idayu berkata, dia tidak mengambil masa yang lama menerima lamaran Mohariz untuk menyanyikan lagu Jangan Menangis Cinta.
"Saya terus bersetuju selepas mendengar demo dihantar Mohariz. Melodi lagu ini sangat indah dan mempesona.
"Jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang bekerjasama dengan komposer berpengalaman seperti Mohariz. Lagipun, kami pernah bekerjasama menerusi lagu Kasih Yang Terpisah pada 2005," katanya kepada BH Online.
Idayu atau nama sebenarnya, Nur Farah Idayu Yaakob berkata, proses rakaman tidak mengambil tempoh yang panjang, sebaliknya rakaman diselesaikan dalam masa sejam.
"Proses rakaman dilakukan hanya satu jam kerana saya sudah menghafal bait-bait lirik sebelum memasuki studio rakaman.
"Sewaktu rakaman, saya cuba menghayati watak seperti dalam lirik yang ditulis Siti Rosmizah. Membawa jiwa dalam nyanyian sangat berat.
"Namun, berkat bimbingan Mohariz dan Afif Tirmizie sebagai penerbit vokal, saya berjaya melakukannya," kata Idayu.
Bercerita lanjut mengenai tafsirannya terhadap lagu Jangan Menangis Cinta, Idayu berkata, karya itu menceritakan mengenai perhubungan suami isteri yang tidak menghargai pasangan.
Penyanyi asal Kota Bharu, Kelantan itu berkata, penjiwaan dalam nyanyian adalah satu aspek penting untuknya menguatkan lagi jalan cerita naskhah Jangan Menangis Cinta hingga berjaya.
"Lagu ini menceritakan hubungan dalam percintaan atau perhubungan suami isteri yang tidak pernah menghargai pasangan. Jadi, salah seorang daripadanya tidak bahagia, apatah lagi, pasangannya mendustai hubungan," katanya lagi.
Selepas tujuh tahun menanti, Idayu akhirnya menimang cahaya mata pertama, Aryan Rifai, tahun lalu. Idayu mendirikan rumah tangga dengan Shahrul Fadzil pada Mei 2014.