Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Emelda 'botak kepala' demi watak

06 Dec 2021 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Imej baharu pelakon Emelda Rosemila, 41, dengan potongan rambut hampir botak ketika muncul pada majlis pratonton drama Dukun Diva mencuri tumpuan, baru-baru ini.

Sekali pandang ada yang menyangkakan seperti bintang antarabangsa, Charlize Theron mahupun Sinead O'Connor.

Namun, ia bukanlah imej untuk tuntutan watak sebagai jutawan kosmetik bernama Datuk DD dalam drama Dukun Diva arahan Ariff Zulkarnain, sebaliknya, bagi filem pasaran luar negara berjudul Abnormal.

Katanya, dia sentiasa mahu keluar daripada zon selesa sejak bergelar pelakon lebih 20 tahun lalu.

"Ini kali pertama saya membuat potong rambut seperti ini demi tuntutan watak. Saya mahu meninggalkan impak dan kenangan untuk filem untuk pasaran luar negara.

"Cuma, imej dalam filem ini saya tidak terlalu kongsi dalam media sosial. Pada zaman remaja saya pernah juga memotong potong rambut pendek hampir botak, biasalah zaman 'nakal'.

"Suami, Adlin Aman Ramlie suka melihat gaya potongan rambut ini. Jika ikutkan pengarah atau produksi tidak minta saya potong rambut hampir botak.

"Namun, ia inisiatif saya sendiri demi menjiwai watak. Sesekali ubah gaya, kenapa tidak? Lagipun saya sudah terbiasa dengan potongan rambut pendek paras bahu," katanya kepada BH Online.

Emelda berkata, dia memegang watak gangster arahan Azhari Zain. Penggambaran bermula sejak 6 November itu turut dibintangi Adlin dan Kodi Rasheed.

"Saya memegang watak perompak berimej botak, ada ukiran tatu di kepala bernama Speed. Filem bergenre aksi diterbitkan untuk platform penstriman," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai watak Datin DD dalam Dukun Diva, Emelda berkata, dia turut bergandingan dengan suami menerusi drama yang disiarkan menerusi slot Astro Originals di Astro Citra bermula hari ini.

Emelda cukup selesa bergandingan dengan suaminya, Adlin kerana sering bertukar pendapat demi menghidupkan watak.
Emelda cukup selesa bergandingan dengan suaminya, Adlin kerana sering bertukar pendapat demi menghidupkan watak.

Adlin memegang watak sebagai Datuk Siddiq sebagai usahawan kosmetik, namun, karakter yang dilakonkan pasangan suami isteri itu seperti kehidupan realiti mereka.

"Jujurnya, saya seronok bergandingan bersama suami. Selepas telefilem Cerai, tahun lalu kami digandingkan pula dalam drama Dukun Diva. Kalau ikutkan, sudah empat kali kami digandingkan bersama.

"Cukup mudah bekerja dengan suami kerana kami sering bertukar pendapat demi menghidupkan watak.

"Bagaimanapun, banyak juga babak kami bergaduh dalam drama ini. Malah, dalam drama ini pun watak Datuk DD berpeluang memiliki video muzik lagu sendiri seperti penyanyi lain.

"Babak saya dan suami ada elemen muzikal. Kami juga perlu menari termasuk ada 'battle' rap. Kerja jadi mudah apabila kami boleh berbincang bagi menghidupkan karakter.

"Dari lokasi penggambaran hingga ke rumah, sampaikan atas katil sebelum tidur pun masih boleh berbincang soal kerja," katanya.

Selama ini dilihat lebih terarah kepada watak berat dan serius, Emelda berkata, dia tidak melihat karakter Datuk DD sebagai satu yang mudah.

"Sebenarnya, ada lapisan karakter Datuk DD. Tambah pula, berpenyakit bipolar. Ia bukan kerja mudah biarpun watak ini nampak gila-gila, santai dan ada sisi komedi.

"Saya tidak bergantung kepada garis panduan yang diberikan, banyak melakukan penambahbaikan sendiri. Jadi, ia sebenarnya memenatkan, tetapi saya seronok," katanya.