BERITA ABPBH

Eman Manan mahu terus berbakti

24 Nov 2026 | Affan Rostam

PUTRAJAYA: Pengiktirafan membawa gelaran Datuk bukan noktah perjalanan seni Datuk Eman Manan, sebaliknya amanah baharu yang menuntutnya terus menyumbang kepada pembangunan industri perfileman tanah air.

Aktor tersohor itu menganggap penganugerahan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) sempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu bukan sekadar penghargaan terhadap sumbangan lalu, malah tanggungjawab untuk terus memperkukuh industri seni.

Eman atau nama lengkapnya, Abdul Manan Embong, 68, berkata pengiktirafan itu menyuntik semangat untuk terus menyumbang, khususnya dalam memastikan industri perfileman tempatan berkembang dengan lebih baik.

Selepas sekian lama memilih untuk tidak mengulas mengenai penganugerahan berkenaan, Eman akhirnya bersedia membuka mulut dan memberikan kenyataan kepada pihak media.

"Ini kali pertama saya membuat kenyataan. Sebelum ini, saya tidak pernah menyahut permintaan wartawan untuk memberikan komen mengenai gelaran yang diterima. Ada wartawan yang bertanya, tetapi saya memilih untuk tidak memberikan sebarang komen.

"Ini satu pengiktirafan daripada kerajaan negeri dan Kebawah Duli Tuanku Sultan. Saya bersyukur atas penghargaan yang diberikan, bukan kerana apa yang bakal saya lakukan pada masa depan, tetapi atas segala sumbangan dan usaha yang sudah dilakukan sebelum ini.

"Gelaran ini hadir dengan tanggungjawab, malah menuntut saya untuk terus menyumbang kepada industri. Industri perfileman semakin berkembang dengan jumlah panggung wayang juga semakin bertambah," katanya ketika ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem Takluk 2: OP Daulat di GSC IOI City Mall, di sini, semalam.

Mengulas perkembangan industri perfileman tempatan, Eman melihat peningkatan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan dan latihan formal dalam bidang lakonan sebagai perkembangan positif.

Katanya, perkara itu turut menjadi perbualannya bersama pelakon Indonesia, Reza Rahadian, yang ingin mengetahui perkembangan filem dan kemunculan pelakon baharu di negara ini.

"Saya menjelaskan bahawa sekarang semakin banyak institusi pengajian dan kolej menawarkan pendidikan dalam bidang lakonan. Golongan muda juga mula melihat lakonan sebagai satu cabang ilmu yang perlu dipelajari," katanya.

Bagi Eman, bidang lakonan tidak boleh hanya bergantung kepada bakat semula jadi kerana seseorang pelakon perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan daripada pelbagai bidang.

"Lakonan bukan seperti rumput di tepi jalan yang apabila dipotong akan tumbuh semula. Sebaliknya, ia perlu dipelajari kerana untuk mempersiapkan diri sebagai seorang pelakon, ada pelbagai perkara yang perlu dikuasai.

"Antaranya termasuk penguasaan bahasa serta pengetahuan dalam pelbagai bidang seperti sejarah, geografi dan anatomi. Apabila semua perkara ini dihimpunkan, jelas bahawa lakonan adalah satu bidang ilmu yang perlu dipelajari," katanya.

Beliau percaya pendidikan formal mampu melahirkan generasi pelakon yang lebih bersedia, berkeyakinan dan memahami tanggungjawab mereka dalam industri seni.

"Apabila lahirnya generasi pelakon yang mempunyai ilmu dan mendapat pendidikan khusus, saya percaya mereka akan lebih yakin, mampu membuat pilihan yang tepat serta menghasilkan mutu kerja lebih baik.

"Ini kerana tugas industri seni bukan sekadar memberikan hiburan, tetapi turut memperkenalkan dan menggambarkan identiti kita, bangsa serta negara," katanya.

Terdahulu, Eman antara penerima darjah kebesaran negeri yang mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam bidang seni serta industri lakonan tanah air.

Dalam perkembangan lain, Eman membintangi filem Takluk 2: OP Daulat yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula Khamis ini.

Diarahkan Zulkarnain Azhar, filem itu ialah sekuel kepada Takluk: Lahad Datu yang ditayangkan pada 2024, selain menampilkan kerjasama strategik dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).