Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Elak tekanan, pilih aksi santai

08 Feb 2023 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Enggan tertekan, Dayang Nurfaizah yang mempertaruhkan single duet Debu bersama Amir Masdi pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad ini, hanya mahu berseronok di pentas akhir itu.

Dayang yang pernah tiga kali mengungguli Vokal Terbaik AJL juga mahu Amir berfikiran sedemikian agar persembahan mereka mantap dan datang dari hati.

"Sebenarnya, bukanlah tiada tekanan langsung. Tekanan perlu ada supaya kita tidak ambil mudah.

"Cuma saya cuba anggap ia seperti persembahan biasa. Ini dibuat supaya saya dan Amir tidak terlalu runsing memikirkan soal persembahan pada malam itu.

"Kalau boleh, saya mahu persembahan yang relaks. Apabila relaks dan bersahaja, saya yakin penonton dapat menikmati dan 'enjoy' (bergembira).

"Saya beritahu perkara sama kepada Amir supaya dia tidak gementar. Namun, sebenarnya saya yang gementar," kata Dayang berseloroh.

Tambah Dayang, apabila membabitkan persembahan duet, ia lebih memberi tekanan kerana masing-masing cuba beri aksi terbaik.

Akuinya, apabila tampil bersama di pentas, masing-masing tidak mahu menghampakan antara satu sama lain.

Dayang, 42, mengakui merasai pengalaman sama apabila tampil bersama Hael mendendangkan lagu Haram di pentas AJL 33.

"Sebenarnya, apabila berganding dengan penyanyi lain, perasaan gementar dan tekanan itu lebih.

"Kalau boleh, saya mahu beri persembahan yang sempurna tanpa kesalahan. Saya tidak mahu hampakan perasaan pasangan duet.

"Saya yakin Amir rasa perkara sama. Namun, saya sangat yakin dengan kemampuan vokal Amir. Dia penyanyi yang sangat 'cool' dan relaks," katanya mengakui Amir sebagai antara bakat pelapis yang baik.

Mengenai persiapan untuk AJL 37, Dayang mengakui tidak banyak yang sempat dilakukan mereka.

Dayang berkata, dia baru berbincang mengenai susulan lagu Debu dan menanti masa untuk latihan vokal berikutan jadual masing-masing yang padat.

"Kami hanya sempat berbincang dan tentukan susunan lagu pada malam itu. Setakat ini, latihan bersama belum sempat dibuat kerana saya terlalu sibuk dengan album Belagu II.

"Amir juga sibuk dengan jadualnya sendiri. Kami hanya pernah mendendangkan lagu Debu sebanyak tiga kali setakat ini.

"Jadi, selepas ini, kami akan berjumpa dan berbincang bagaimana untuk mencantikkan lagi persembahan," katanya.

Dayang tidak meletakkan harapan membolot trofi Vokal Terbaik berikutan saingan sengit. - NSTP/Aziah Azmee
Dayang tidak meletakkan harapan membolot trofi Vokal Terbaik berikutan saingan sengit. - NSTP/Aziah Azmee

Ditanya potensi membolot trofi Vokal Terbaik, Dayang tidak meletakkan harapan berikutan saingan sengit.

"Kita ada Ernie Zakri, Liza Hanim, Shila Amzah dan Marsha Milan yang semuanya memiliki vokal yang hebat.

"Jadi, saya tidak mahu tambah tekanan. Namun, saya mahu menunaikan tanggungjawab memberi persembahan terbaik," katanya.

Single Debu ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam dan Acap Salim. Mula distrim di semua pelantar muzik digital bermula 22 Februari 2022.

Dayang mencipta hatrik meraih Vokal Terbaik AJL pada edisi ke 29, 30 dan 31.

Penonton boleh menyaksikan kerjasama penaja utama, Alha Alfa Cosmetics dan TV3 pada AJL 37 yang akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Ahad ini, mulai jam 9 malam.

Penonton juga boleh strim langsung AJL 37 di platform penstriman Tonton.

Seramai 12 finalis berentap pada AJL 37 iaitu Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu Terus Hidup hasil ciptaan beliau sendiri dan Ernie Zakri yang menepati ramalan apabila lagu Korban ciptaannya, mara ke pentas akhir.

Selain itu, lagu Bahagiakan Dia ciptaan penyanyi muda, Alif Iskandar dengan lirik dihasilkan Alif dan Que Afiq. Lagu ini dinyanyikan secara duet oleh Shila Amzah dan Liza Hanim.

Sembilan lagi lagu yang layak ke AJL37 ialah Suatu Malam Di Temasek dendangan Joe Flizzow dan SonaOne ciptaan SonaOne dengan lirik dihasilkan SonaOne dan Joe Flizzow; Anugerah Terindah (Alif Satar & The Locos/ciptaan Alif Satar, Romeo, Tam Cobain, Arwis/lirik Alif, Shah Shamshiri dan Romeo); Debu (Dayang Nurfaizah, Amir Masdi/ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim).

Turut bersaing, Kembali Terang (Marsha Milan/ciptaan Senna dan Ajin/lirik Senna); Nang (Iman Troye/ciptaan Ezra Kong dan A Ramle) serta Payung Pelangi (Noki, MK/ciptaan dan lirik Noki, MK).

Tidak ketinggalan, Sengsara (Khai Bahar/ciptaan Johm Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K); Irama (Shiha Zikir/ciptaan Qie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves) dan Mainan (Naim Daniel/ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga/lirik Arizs Ab Rahman).

AJL 37 julung kali menggandingkan dua hos wanita, Sherry Alhadad dan Jihan Muse bagi mengemudi acara itu.