Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Siapa sangka, eksperimen merakamkan semula lagu Malam Semakin Dingin paduan suara Tajul dan Afieq Shazwan membuahkan kejayaan apabila single itu sohor kini di YouTube sejak dilancarkan kira-kira tiga minggu lalu, hingga sekarang.
Pencapaian itu cukup mengejutkan Tajul dan Afieq. Bagi mereka, projek kolaborasi itu adalah percubaan berani syarikat rakaman yang andai salah percaturan, mengundang risiko.
Tajul mengaku sebagai dendangan ikonik dan memiliki peminat sendiri, dia ragu dan bimbang apabila disaran merakamkan semula lagu yang pernah dipopularkan abangnya, Allahyarham Achik Spin.
"Idea merakamkan semula lagu ini dicetuskan pengurus kerana Malam Semakin Dingin tular di aplikasi TikTok. Untuk menyuntik elemen kelainan, syarikat rakaman mencadangkan lagu ini dinyanyikan secara duet.
"Mengikut perancangan asal, saya berduet dengan seseorang yang pernah tular di TikTok. Namun, disebabkan ada masalah daripada segi kontrak, syarikat rakaman mencadangkan Afieq.
"Saya anggap ini percubaan berani kerana Afieq belum pernah membawakan lagu era 1990-an. Saya juga risau menantikan maklum balas pendengar kerana single ini cukup ikonik.
"Apabila saya dapat tahu lagu ini menjadi sohor kini selama tiga minggu di YouTube dan masih bertahan serta meraih lebh lima juta tontonan, saya sangat bersyukur," katanya kepada BH Online.
Di sebalik sambutan diberi, Tajul atau nama sebenar, Tajul Ariff Noor Md Shari mendedahkan ada pihak yang seolah-olah tidak berpuas hati dengan pembikinan lagu itu.
Kisah tersebar, konon lagu itu dikaitkan dengan perkara negatif seperti hubungan songsang apabila didendangkan mereka.
"Tidak dinafikan kami menerima komen nakal apabila mereka mempersoalkan mengapa lagu cinta ini dinyanyikan dua artis lelaki.
"Daripada segi lirik, tidak salah kerana sesuai. Lagipun, apa yang kami sampaikan adalah dari sudut pandangan dua lelaki terhadap insan yang mereka sayangi," kata penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Sedalam-dalam Rindu.
Memandangkan kolaborasi Tajul dan Afieq mendapat restu peminat, Tajul memberitahu, projek duet bersama Afieq akan diteruskan.
"Selepas ini, saya dan Afieq akan muncul dengan projek duet. Kami masih menyanyikan lagu arwah Achik. Formula ini akan diteruskan berikutan sambutan menggalakkan.
"Jika mengikut perancangan, lagu-lagu dirakamkan ini akan dimuatkan dalam sebuah album. Namun, kena tunggu keputusan akhir label atau syarikat rakaman," katanya.
Afieq, 24, mengakui proses rakaman lagu itu sangat mencabar.
"Sebelum ini, saya sering menyampaikan lagu berentak R&B dan hip hop. Saya belum pernah membawakan lagu 'slow rock' seperti Malam Semakin Dingin.
"Ini projek bidan terjun buat saya. Walaupun proses rakaman mengambil masa tiga hari, saya teruja dan bersyukur selepas lagu ini dipuji dan 'trending' di YouTube sehingga hari ini," katanya.
Sementara itu, mengulas pencalonan Afieq dalam kategori Artis TikTok Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Di Telefon ini meletakkan harapan untuk menang.
Afieq berkata, keyakinan itu timbul kerana dia mempunyai peminat dan pengikut yang sangat menyokong dalam aplikasi perkongsian video itu.
"Hampir setiap hari peminat memaklumkan kepada saya perkembangan terkini kedudukan saya dalam pencalonan kategori itu.
"Saya seorang yang sangat aktif bermain TikTok. Banyak masa saya beri untuk medium media sosial itu. Justeru, saya memang meletakkan harapan untuk menang kategori itu," katanya.
Mengenai potensi menembusi senarai Top 5 kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, Afieq atau nama penuhnya, Muhammad Shafieq Shazwan Zamros lebih selesa bersikap realistik.
"Kalau kita lihat nama penyanyi tersenarai dalam pencalonan awal, kebanyakannya sangat hebat dan punya peminat yang ramai.
"Saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi. Dapat bolos pencalonan awal dan berada bersama mereka dalam kelompok 20 penyanyi lelaki popular sudah cukup menggembirakan.
"Sama ada berjaya menjadi finalis atau tidak, saya serahkan kepada rezeki. Kalau nama saya tersenarai, saya bersyukur dan ucap terima kasih kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong.
"Jika sebaliknya, saya tak patah semangat dan terus memberi yang terbaik kepada peminat," katanya.