Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Suatu ketika dulu, suaranya sering berkumandang di corong radio ketika menjalankan tugas sebagai penyampai radio RTM di saluran FM Stereo.
Suara merdunya juga pernah menghiasi drama radio Nombor 5 Persiaran 1 yang cukup popular pada era 1980-an membawa watak Che Yam.
Bukan sahaja mencipta populariti di radio, malah nama pelakon veteran, Fatimah Yassin terkenal di layar kaca. Siapa yang boleh lupa lakonan hebatnya dalam drama bersiri popular era 1980-an, PJ Holdings dan Idaman.
Biarpun tidak lagi aktif dalam dunia seni berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan akibat mengalami osteoporosis, Fatimah mengakui masih mengikuti perkembangan dunia seni yang mula diceburinya hampir tujuh dekad lalu.
Sebagai pelakon berpengalaman, Fatimah menganggap drama hari ini banyak menyalurkan mesej negatif melalui paparan watak yang disifatkan tidak sesuai untuk tontonan generasi muda.
"Saya mengikuti perkembangan dunia seni hari ini terutama drama Melayu. Suatu perkara yang membuatkan saya tidak berkenan adalah apabila terlalu banyak watak isteri derhaka kepada suami dipaparkan.
"Ada babak isteri melawan cakap suami dan marahkan suami. Si suami pula hanya diam membisu walaupun si isteri meninggikan suara.
"Walaupun ada mesej positif yang ingin disampaikan menerusi babak seperti itu, namun pada saya, ia tidak sesuai untuk dipertontonkan.
"Bimbang ia boleh menjadi contoh yang tidak baik terutama kepada generasi muda apabila terlalu kerap dipaparkan," katanya kepada BH Online.
Berkongsi pandangan mengenai pembikinan drama yang mengetengahkan dunia korporat sebagai tema seperti yang sering kita lihat di kaca TV, wanita berusia 83 tahun ini memuji usaha itu.
Bagaimanapun kata Fatimah, kalau boleh biarlah ia dihasilkan dengan acuan tempatan.
"Bagaikan aliran terkini apabila syarikat produksi hari ini berlumba-lumba menghasilkan drama yang mengetengahkan dunia korporat.
"Pada saya, itu suatu perkembangan yang bagus. Cuma kalau boleh biarlah drama itu ada sentuhan tempatan.
"Saya tengok dari segi dialog, tetap hendak campur aduk dengan bahasa Inggeris. Begitu juga daripada segi pemilihan pelakon.
"Saya lihat kebanyakan pelakon hari ini, baik lelaki atau perempuan, semuanya berwajah Pan-Asian.
"Tidak dinafikan, mereka memang cantik. Tapi kadang-kadang situasi itu buat saya jadi keliru apabila melihat emak dan bapa berwajah Melayu, anak pula Pan-Asian.
"Boleh dikatakan susah hendak jumpa pelakon yang berwajah Melayu asli. Kalau ada pun, barangkali disebabkan pembabitan pelakon senior," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku mewah 'Di Sebalik Nama Orang RTM' Persatuan Veteran RTM (PVRTM) dan penyampaian sumbangan Hari Raya di ibu negara, kelmarin.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Pada pertemuan itu, ibu kepada sepasang cahaya mata dan nenek kepada tiga cucu itu sempat menitipkan nasihat berguna kepada artis muda supaya sentiasa menghargai masa.
"Perkara yang kerap saya hadapi ketika zaman saya aktif berlakon dulu adalah sikap pelakon yang tidak tahu menghormati masa.
"Selalunya mereka datang lewat ke lokasi dan membiarkan pelakon lain menunggu. Sikap seperti ini harus dihindarkan. Belajarlah menghormati masa orang lain dan berdisiplin.
"Saya akan datang ke lokasi lebih awal sebab sudah terbiasa dan tidak suka orang lain menunggu saya. Saya memang jenis tidak suka menyusahkan orang," katanya.
Sebelum aktif berlakon teater dan drama, Fatimah bertugas sebagai guru bahasa Melayu di Sekolah Convent of The Holy Infant Jesus, Singapura (dari 1954 hingga 1957).
Pada tahun 1990-an, Fatimah berhijrah ke Rangkaian Nasional sehinggalah bersara pada tahun 1999. Sejak terjatuh empat tahun lalu dan patah tulang belakang, Fatimah kini bergerak menggunakan kerusi roda.