Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Drama Perempuan Itu di Tonton, bulan depan

21 Jan 2023 | Farihad Shalla Mahmud

HULU KELANG : Hampir setahun terperap, drama bersiri yang pernah mencetuskan kontroversi tahun lalu, Perempuan Itu, bakal menemui penonton, bulan depan.

Penerbitnya, Erma Fatima berkata, drama lakonan Zul Ariffin dan Mimi Lana itu akan ditayangkan di platform penstriman Tonton sebelum disiarkan TV3.

"Insya-Allah, Februari nanti drama bersiri Perempuan Itu akan ditayangkan di Tonton disusuli TV3.

"Setakat ini, drama itu tidak ada masalah untuk ditayangkan. Cuma babak yang pernah mencetuskan kontroversi sudah disunting," katanya ditemui pada majlis pelancaran Mak Cun Mart di Ukay Perdana di sini, hari ini.

Erma sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku selepas drama itu ditayangkan.

"Apabila menonton drama ini, ada dua perkara yang bakal berlaku. Pertama, jika mereka suka, pasti pujian akan diberi.

"Tetapi, jika mereka tidak suka, hasilnya, pasti akan terima kecaman. Tidak mengapa, saya boleh terima apa sahaja maklum balas yang diberi.

"Saya juga tidak mampu menutup mulut orang sama ada mereka suka atau tidak suka dengan karya itu.

"Saya hanya cuba buat yang terbaik mengikut misi dan matlamat untuk saya sampaikan dalam karya itu," katanya.

Drama yang mendapat sentuhan sutradara Ain Sharif ini berkisar konflik rumah tangga pasangan Emir lakonan Zul Ariffin dan Khalish (Mimi Lana).

Kebahagiaan yang dikecapi Khalish hanyalah sementara selepas muncul orang ketiga iaitu Sera (Siti Hariesa) dalam hidup mereka.