Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

'Doa Cinta termakbul'

18 Dec 2021 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Hampir pasrah selepas lebih sedekad melawan barah limfoma tahap empat, penyanyi Elyana, 34, tidak menyangka kata-kata doktor yang mengesahkan sel kanser dalam tubuh hilang, menandakan perjuangan selama ini, berakhir.

Tiada kata-kata dapat menggambarkan kegembiraan dalam hati sebaik mendapat keputusan positif ujian imbasan sel kanser, baru-baru ini.

Akui penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu itu, hingga hari ini, dia masih terkejut.

Bagai diberi peluang kedua dalam hidup, Elyana atau nama sebenar, Erneelya Elyana Emrizal mengaku keajaiban tidak berlaku tanpa doa semua pihak.

"Saya masih terkejut dan tidak sangka kerana sudah terlalu lama iaitu 11 tahun saya menanggung kesakitan. Sampai suatu tahap, saya reda mungkin tidak ada rezeki untuk pulih.

"Namun, saya sentiasa memanjatkan doa agar Allah panjangkan umur. Saya tidak sangka kanser hilang.

"Malah, sampai hari ini, saya masih terbayang wajah doktor ketika berkongsi berita itu dan masih sukar percayai apa yang dijelaskan.

"Mungkin ini kekuatan doa semua orang iaitu ahli keluarga dan orang ramai. Saya sangat terharu kerana Allah menghadirkan orang yang baik-baik dalam hidup saya.

"Walaupun tidak kenal tetapi ramai orang gembira. Ibarat menang bola apabila dapat tahu kanser saya hilang. Semua orang tidak sangka doa mereka makbul," katanya kepada BH Online.

Ditanya apakah kesan penggunaan ubat menguatkan antibodi bernilai RM50,000 untuk sekali rawatan memberi kesan positif, ibu kepada dua cahaya mata itu menjelaskan, dia belum sempat mengambil ubat itu berikutan kos terlalu tinggi.

"Saya belum bersedia daripada sudut kewangan. Jadi, untuk rawatan kimoterapi yang sedang diambil, saya hanya guna ubat biasa," katanya.

Selain itu, Elyana percaya keberkatan doa yang sering dilafazkan dalam hati berbunyi:

"Ya Allah, biarpun aku tak dapat buat apa yang doktor saran, tetapi, jadikanlah ubat yang aku ambil ini sehebat apa yang doktor syor.

"Alhamdulillah, Allah maha berkuasa dan makbulkan doa saya."

Biarpun kanser sudah hilang, Elyana masih perlu meneruskan rawatan kimoterapi untuk beberapa sesi bagi memastikan sel barah hilang sepenuhnya.

Tambahnya, doktor akan melakukan ujian imbasan sekali lagi selepas selesai lima pusingan rawatan kimoterapi.

"Saya sudah 11 tahun menghidap kanser. Jadi, doktor bimbang jika 'ibu' kanser masih tertinggal. Saya juga perlu menjalani rawatan 'transplant' sel tetapi tidak tahu bila masanya.

"Doktor akan lihat hasil rawatan kimoterapi, selepas itu, barulah kami berbincang mengenai rawatan 'transplant'. Ketika ini, saya masih lemah akibat kesan kimoterapi.

"Namun, jiwa saya semakin tenang dan gembira," katanya.

Elyana masih perlu meneruskan rawatan kimoterapi untuk beberapa sesi bagi memastikan sel barah hilang sepenuhnya. - Foto IG Elyana
Elyana masih perlu meneruskan rawatan kimoterapi untuk beberapa sesi bagi memastikan sel barah hilang sepenuhnya. - Foto IG Elyana

Ibu kepada dua cahaya mata iaitu Cinta Sumayyah, 10, dan Cahaya Ramadhani, 2, ini berkata, dua permata hatinya itu cukup gembira mendapat tahu dirinya bebas kanser.

Namun, Cinta pada mulanya tidak percayai kerana menyangka Elyana dan suami, Khairul Anuar Husin, bergurau.

"Selama ini kami usik Cinta. Kali pertama suami beritahu kanser saya hilang, Cinta tidak percaya.

"Beberapa kali dia bertanya kami untuk pengesahan. Apabila saya jelaskan kepadanya berita itu betul, dialah yang paling gembira.

"Selama ini, saya selalu cakap kepadanya, kalau Cinta hendak tengok bonda sihat, Cinta kena jaga solat dan selalu doakan bonda.

"Saya beritahu Cinta sejak kecil lagi, Allah mesti dengar doa Cinta. Jadi, apabila dapat berita itu, dia fikir Allah makbul doanya selama ini... Itu yang membuatkan dia gembira.

"Selain anak dan suami, pembantu rumah gembira dengan berita itu. Mereka adalah insan yang sentiasa berada di sisi sepanjang berjuang dengan kesakitan ini," katanya.

Tidak bernazar selepas disahkan bebas sel kanser, Elyana sebaliknya hanya mahu menjadi insan lebih baik.

Elyana mahu terus berkongsi semangat positif melalui media sosial agar menjadi inspirasi kepada insan lain terutama individu yang menghidap penyakit kronik.

"Saya hanya mahu jalani hidup seperti biasa. Saya mahu jadi insan yang lebih bersyukur. Saya tiada nazar, cuma saya hanya mahu jadi orang yang lebih baik.

"Ketika saya susah, ramai orang membantu dan bersikap baik terhadap saya," katanya.

"Mungkin saya tidak mampu membantu orang dalam kesusahan dari sudut kewangan, tetapi saya mahu tolong dengan aura positif.

"Saya seronok apabila ramai pesakit kanser termasuk mereka yang berdepan masalah hidup, menghantar mesej dan mengaku mereka beroleh inspirasi melihat cara hidup saya.

"Mereka rasa aura positif itu. Jadi, saya tidak boleh tunjuk kepada pengikut diri ini lemah. Itu tidak akan membantu saya dan mereka," katanya.

Akui Elyana, biarpun terpaksa 'berlakon' dalam Instagram (IG), apa yang penting, dapat menggembirakan peminat.

"Lagipun, saya percaya, apa yang kita kata adalah doa. Mungkin disebabkan sentiasa berfikiran positif, saya sembuh," katanya.

Terdahulu, selepas tersingkir daripada musim keempat program realiti Gegar Vanganza (GV4) pada 2017, Elyana mengumumkan menghidap kanser limfoma tahap empat.

Ketika itu, Elyana sudah tujuh tahun menghidap penyakit itu. Sejak aktif pada 2002, Elyana menerbitkan empat album.