Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Doa Abu Nawas inspirasi lagu duet Nuha, Naufal

15 Apr 2023 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Penyanyi duo popular, Naufal Azrin dan Nuha Bahrin memilih buah tangan istimewa berjudul Iktiraf sebagai santapan rohani sepanjang Ramadan ini.

Pasangan duo yang mencetuskan fenomena menerusi lagu Casablanca memilih lagu bergenre Islamik sepanjang bulan yang penuh dengan kemuliaan, kesyukuran dan keberkatan ini.

Nuha berkata, lagu Iktiraf mengajak seluruh umat Islam di dunia untuk sentiasa mengingati-Nya dalam setiap ujian atau cabaran yang ditempuh.

"Saya percaya ramai yang kenal dan tahu mengenai iktiraf. Doa ini antara yang sering kita

dengar atau baca setiap kali berdepan kesulitan.

"Doa ini mengingatkan kita untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Sang Pencipta supaya jangan berhenti berdoa dan memohon keampunan daripada-Nya.

"Sebagai hamba, kita perlu sentiasa muhasabah dan bertaubat memperbaiki diri kerana keampunan Allah adalah matlamat yang ingin dicapai setiap mukmin," katanya kepada BH Online.

Tambah Nuha, dia bersyukur apabila proses rakaman lagu Iktiraf berjalan dengan lancar dengan bantuan pasukan produksi yang hebat.

"Alhamdulillah proses rakaman lagu ini berjalan dengan lancar. Dengan bantuan Naufal dan setiap individu yang terbabit dalam lagu ini segala-galanya berjalan dengan mudah.

"Saya harap peminat akan menyukai lagu yang dibawakan ini dan sama-sama kita merebut dan menggandakan pahala pada bulan penuh kemuliaaan ini," katanya.

Nuha dan Naufal bersyukur proses rakaman lagu Iktiraf berjalan lancar dengan bantuan pasukan produksi hebat.
Nuha dan Naufal bersyukur proses rakaman lagu Iktiraf berjalan lancar dengan bantuan pasukan produksi hebat.

Sementara itu, Naufal berkata, dia berharap lagu yang diinspirasikan dari doa Abu Nawas terbitan Beegood Music, Masyhur dan Universal Music Malaysia ini dapat memberi keinsafan kepada setiap yang mendengar.

"Allah sentiasa membuka pintu taubat seluas-luasnya terhadap hamba yang mengaku kekhilafan dan berusaha memperbaiki kesilapan itu.

"Sebesar mana sekalipun dosa dilakukan seseorang itu, Allah sentiasa memberi ruang mereka bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

"Jadi, saya harap lagu Iktiraf yang dibawakan ini dapat menjentik hati setiap insan, lebih lagi

kepada sesiapa yang ingin berubah ke jalan kebaikan," katanya.

Mengulas pengalaman ketika menjalani proses rakaman video muzik Iktiraf, Naufal berkata, proses rakaman lagu dan video muzik dibuat dalam tempoh satu hari.

"Proses rakaman dan video muzik dibuat pada hari yang sama. Kami tidak berdepan sebarang kesukaran untuk membawakannya.

"Malah, kami berasa bertuah kerana dapat mengajak pendengar dan peminat untuk menghayati lagu ini dengan hati yang terbuka," katanya.

Tambahnya, dia berharap Iktiraf dapat menjadi lagu doa wajib untuk didengari setiap kali berdepan kesulitan mahu pun pada bila-bila masa.

Lagu Iktiraf sudah boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muzik Iktiraf yang berdurasi 2 minit 55 saat ini boleh ditonton di YouTube Masyhur.