Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

DFP, UTP semarak muzik tradisional

29 Sep 2022 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Bagi menyemarakkan kegiatan seni dan budaya, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bekerjasama dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) mempersembahkan Konsert Junjung Tradisi - A Night with UTP Stars, baru-baru ini.

Konsert ini menampilkan pelbagai unsur muzik tradisional daripada gamelan Melayu, Melayu tradisional dan lagu gamelan kontemporari dibarisi artis berbakat dari UTP Performing Arts Group (UPAG), kumpulan gamelan Sanggar Kirana dan kumpulan pemuzik tradisional UTP Petra Group.

Padat dengan elemen tradisional Melayu, tirai persembahan konsert itu dibuka dengan persembahan tari adat Melayu dengan iringan nyanyian, Rosli Abu Bakar dari Istana Budaya (IB).

Persembahan diteruskan dengan Joget Gamelan Topeng. Tarian ini dahulunya sering dipersembahkan di hadapan keluarga Diraja Pahang dan Terengganu. Namun, kini mendapat tempat di pentas tarian kontemporari Malaysia.

Seperti nama tari, joget dipersembahkan dengan props topeng di mana menceritakan mengenai seseorang yang mahu menyembunyikan wajahnya.

Selepas joget, tetamu dihiburkan dengan persembahan berjudul Isang, iaitu istilah Melayu lama yang bermaksud berkumpul untuk bergembira.

Situasi ini menggambarkan aktiviti seperti rewang atau gotong-royong yang sering dianjurkan pada majlis perkahwinan.

Antara segmen persembahan yang memukau adalah nyanyian lagu Kasih yang disampaikan dengan iringan muzik keroncong dihasilkan alat muzik seperti ukelele, gitar, bes dan selo.

Lagu Kasih asalnya dihasilkan komposer, Richard Kyoto pada pertengahan 1986 untuk penyanyi Indonesia, Ermy Kulit.

Pada 1987, lagu itu dirakam semula penyanyi keroncong popular Indonesia, Hetty Koes Endang.

Persembahan terus hangat dengan dendangan lagu Gegar yang memberi fokus kepada elemen pop rock dan lagu Madah Teruna, yang berkisar jejaka yang mahu memikat wanita, dengan puisi indah yang penuh dengan rasa sayang.

Padat dengan elemen tradisional Melayu, Konsert Junjung Tradisi - A Night with UTP Stars berlangsung di DFP, baru-baru ini. - Foto IG DFP
Padat dengan elemen tradisional Melayu, Konsert Junjung Tradisi - A Night with UTP Stars berlangsung di DFP, baru-baru ini. - Foto IG DFP

Lirik Madah Teruna diilhamkan dan adaptasi daripada Kompilasi Mentera-Mentera Melayu yang diambil daripada buku Ulit Mayang: Kumpulan Mantra Melayu yang dihasilkan Haron Daud.

Persembahan lagu Antara Selat mendapat inspirasi daripada situasi di mana pasangan kekasih menunggu masa untuk berjumpa.

Lagu itu menggambarkan keterujaan masing-masing untuk berjumpa buat kali pertama. Lagu itu mempersembahkan dua cara teknik permainan gamelan yang berbeza daripada Gamelan Melayu dan Gamelan Jawa, iaitu teknik mipil dan gembyang.

Antara lagu lain yang turut dipersembahkan adalah Susuk Angin yang dicipta Teuku Umar Ilany pada 2012.

Lagu yang mengetengahkan keunikan muzik gamelan itu juga menggabungkan elemen gamelan dari Bali.

Persembahan selama kira-kira 60 minit itu turut diwarnakan dengan bingkisan lagu Inang Godampol, Zapin Madah Pusaka dan Joget Selayang Pandang.

Inang Godampol adalah lagu yang dihasilkan komposer, Allahyarham Abdullah Chik dan dipopularkan Rojer Kajol dan kumpulannya, Orkes Melayu Roger.

Gubahan dan koreografi tarian itu dicipta berdasarkan pergerakan gaya Inang, susunan baharu muzik Inang dan dipersembahkan secara berpasangan.

Zapin Madah Pusaka menggabungkan dua stail zapin yang popular di Johor iaitu Zaping Tanjong Labuh yang dipersembahkan penari perempuan dan Zapin Kores oleh penari lelaki.

Menghangatkan pentas, Joget Selayang Pandang menampilkan persembahan tarian dengan iringan muzik Melayu Deli dengan komposisi lebih segar.

Ini diikuti tarian penutup tirai iaitu joget yang dipersembahkan secara berpasangan.

Kesimpulannya, persembahan nyanyian dan tarian mempamerkan keindahan seni persembahan tradisional Melayu yang diamalkan turun temurun.

Andai tidak diturunkan, gusar seni ini lapuk ditelan zaman.

Justeru, usaha DFP dan UTP dalam memupuk minat terhadap muzik tradisional Melayu dalam kalangan penuntutnya patut dipuji.

Inisiatif ini bukan sahaja dapat menyemai bakat kreatif melalui aktiviti kebudayaan dan seni persembahan, malah memartabatkan muzik tradisi Melayu dalam kalangan pemuda zaman sekarang.

Konsert istimewa ini diadakan sejajar dengan usaha DFP untuk menjadi dewan ikonik penuh dengan pelbagai persembahan muzik dan kebudayaan yang menarik untuk mencipta pengalaman yang unik kepada semua.

Objektif UPAG adalah untuk menjadi pemangkin yang memberi inspirasi kepada penghayatan seni, budaya dan warisan Malaysia dalam kalangan generasi muda.