Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Debar Adam, Bella

02 Oct 2021 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Bakal berakhir tengah malam esok, undian pusingan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang membariskan 14 kategori utama dan empat online, menyenaraikan nama-nama yang cukup dikenali dalam lapangan masing-masing.

Kali ini, BH Online mendekati dua pelakon yang tercalon dalam kategori Gandingan Serasa Drama Popular iaitu Adam Lee, 27, dan Bella Dowanna, 18, yang tampak cukup serasi dalam drama rantaian, Budak Tebing yang disiarkan TV3.

Mula menarik perhatian melalui drama Adam Chempaka, kira-kira dua tahun lalu, Adam terus menambat hati peminat melalui lakonannya dalam Budak Tebing.

Adam atau nama sebenarnya, Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee mengaku drama itu melonjakkan namanya. Apatah lagi, jumlah pengikut media sosial meningkat disebabkan watak dibawa dalam drama itu.

Adam yang mula berlakon sejak berusia 18 tahun, menganggap pencalonan itu sangat bermakna kepada perjalanan karier seninya.

"Alhamdulillah, tipulah kalau saya kata tidak gembira dengan pencalonan ini. Budak Tebing adalah salah drama yang mengangkat saya.

Adam tidak menyangka gandingannya dengan Bella dalam drama Budak Tebing menarik perhatian peminat. Foto IG Adam Lee
Adam tidak menyangka gandingannya dengan Bella dalam drama Budak Tebing menarik perhatian peminat. Foto IG Adam Lee

"Apatah lagi dicalonkan bersama Bella, saya terharu kerana tidak sangka gandingan kami dihargai," katanya kepada BH Online.

Mengulas pengalaman bekerja dengan Bella, Adam mengaku segala-galanya mudah.

"Mungkin disebabkan pengalaman Bella di mana dia berlakon sejak kecil. Jadi, dia senang bekerjasama dengan orang lain," katanya.

Tambah Adam, tidak hanya Budak Tebing musim pertama, dia seronok menjayakan kedua-dua musim drama rantaian itu.

Mengulas mengenai kekuatan drama itu, Adam berkata, Budak Tebing bukanlah kisah klise yang banyak dipaparkan di televisyen (TV).

"Budak Tebing berjaya kerana jalan ceritanya yang logik dan menarik. Ia memaparkan keadaan semasa dan realiti kehidupan.

"Itu membuatkan ramai yang terpikat dengan Budak Tebing. Sudah tentu dengan dijayakan pelakon lain, menambahkan lagi warna dalam karya ini," katanya.

Selain bersama Bella, Adam turut dicalonkan dalam kategori sama dengan kekasihnya, Sweet Qismina melalui drama Bidadari Salju dan kategori solo, Pelakon TV Lelaki Popular.

Bertanya mengenai pilihannya, Adam tidak menafikan drama lakonan bersama Sweet, Bidadari Salju mempunyai kelebihan.

"Kedua-dua drama ada kekuatan. Namun, saya lebih berat kepada drama Bidadari Salju. Hasil karya saya bersama Sweet itu bukan sahaja diminati penonton tempatan, malah hingga ke negara jiran, Indonesia," katanya.

Sementara itu, Bella tidak sangka lakonannya bersama Adam mendapat sambutan positif peminat hingga tercalon pada pusingan awal ABPBH 34.

Bella atau nama sebenar, Qystinna Istajibilla Dowanna Halim menganggap faktor keserasian dengan Adam menjadikan drama itu menarik perhatian ramai.

Bella mudah bekerjasama dengan Adam yang dianggap ‘sporting’ dan mudah mesra. Foto IG Bella Dowanna
Bella mudah bekerjasama dengan Adam yang dianggap ‘sporting’ dan mudah mesra. Foto IG Bella Dowanna

"Sangat senang bekerjasama dengan Adam. Dia 'sporting', baik dan mudah mesra. Mudah bagi kami membina keserasian.

"Gandingan yang baik sangat memberi impak. Seperti contoh, kalau pasangan tidak sama-sama 'memberi', pasti timbul rasa kekok hingga mengganggu lakonan dan emosi kita," katanya.

Tidak hanya Adam, Bella mengaku Aedy Ashraf dan pelakon lain dalam drama Budak Tebing mudah memberi kerjasama.

"Kalau mahu bercakap soal kemenangan menerusi kategori ini, saya tidak nafikan berharap... Tidak salah untuk kita mengimpikannya.

"Tetapi orang kata, kalau ada rezeki, Insya-Allah kami boleh menang," katanya yang teruja dicalonkan selepas namanya disenaraikan sebagai calon Artis Baharu Wanita Popular pada ABPBH 33.

Drama Budak Tebing, terbitan Country & Universal Sdn Bhd, arahan Feroz Kader menekankan nilai persahabatan, persaudaraan, kekeluargaan dan percintaan dalam kehidupan seharian kumpulan digelar ' budak tebing'.

Siri akhir musim pertama Budak Tebing pada 9 April tahun lalu mencecah lima juta penonton. Drama Budak Tebing mengumpul 10 juta penonton bagi 13 episod yang disiarkan slot Lestary TV3.

Sembilan juta tontonan direkodkan di platform Youtube TV3 Malaysia dan Drama Sangat.