Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyambut baik peruntukan sejumlah RM188 juta yang diberikan kerajaan menerusi agensi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dan MyCreative Ventures bagi merancakkan semula aktiviti industri kreatif.
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, peruntukan diberikan bagi meneruskan pelbagai inisiatif itu memberi manfaat kepada seluruh penggiat industri kreatif.
"Dana diberikan kepada agensi kerajaan dilihat memberi manfaat kepada industri muzik seperti Dana Kandungan Digital (DKD) yang diagihkan kepada artis dan pemuzik tempatan.
"MyCreative Ventures banyak membantu syarikat rakaman dalam menganjurkan acara hiburan. CENDANA pula memberi bantuan kepada pemuzik.
"Jadi, ramai akan menerima manfaat daripada dana diberikan. Secara langsung, ia boleh menjadi pemangkin untuk pemulihan industri muzik," katanya kepada BH Online.
Justeru, Rosmin berkata, pihaknya berterima kasih menjadikan industri kreatif sebagai salah satu faktor utama Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Menerusi peruntukan ini, penggiat muzik seperti syarikat rakaman, pemuzik dan artis boleh memohon. Jadi, boleh dikatakan peruntukan diberikan secara menyeluruh kerana industri animasi turut dilihat mendapat manfaat.
"Ini adalah harta intelek yang boleh mendatangkan pendapatan besar kepada negara, jadi wajar untuk diberikan perhatian," katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan merancakkan semula aktiviti industri kreatif, agensi seperti FINAS, CENDANA dan MyCreative Ventures dengan pelbagai inisiatif.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat berkata, sejumlah RM188 juta disediakan untuk meneruskan pelbagai inisiatif seperti Dana Kandungan Digital, projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem, program Perkasa Modal Insan dan perlindungan PERKESO kepada golongan penggiat seni.