Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Pernah menolak publisiti atas alasan belum bersedia, bakat baharu, Nafiz Muaz sudah bersetuju untuk ditemuramah media demi membina nama di persada seni.
Mempertahankan prinsip dahulu, Nafiz, 21, berkata, dia bukanlah ‘kekwat’ atau berlagak sehingga enggan bercakap dengan wartawan atau wakil media.
“Memang dahulu saya menolak pelawaan media yang mahu mengatur sesi fotografi dan temuramah. Bukan berlagak atau ‘kekwat’, ketika itu, saya belum bersedia dan masih dalam kategori ‘underground’.
“Matlamat saya menyertai dunia lakonan adalah kerana memenuhi minat, bukan hendak jadi pppular.
“Saya mahu menjadi pelakon yang baik... Saya mahu capai impian. Ketika itu, saya risau berdepan individu yang skeptikal atau pandangan yang menyebut, berlakon tak sehebat mana, publisiti sahaja ‘lebat’,” katanya kepada BH Online.
Berasal dari Sungai Petani, Kedah, bakat Nafiz digilap ketika menyertai pertandingan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016.
Bakatnya dipuji ramai terutama selepas tampil dalam drama Hilang Yang Kembali arahan Amor Rizan yang disiarkan dalam slot Samarinda TV3, baru-baru ini.
Malah, Azhan Rani memuji lakonan Nafiz ketika membawa watak Nil Jibrail dalam telefilem Terima Kasih Ibu.
Nafiz atau nama penuhnya, Muhammad Nafiz Mat Nasir berkata, selepas empat tahun bergelar pelakon, dia kini sudah bersedia untuk memperkenalkan dirinya secara meluas dan mengejar populariti.
“Selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya ceburi bidang lakonan.
“Saya mula membintangi telefilem Pondok Itu Rumahku arahan Shuhaimi Lua Abdullah. Alhamdulillah, saya masih diberi kepercayaan untuk menunjukkan bakat lakonan,” katanya yang berada di Kelantan kerana terikat dengan penggambaran drama Cik Propa bergandingan dengan Adeline Tsen.