Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Kumpulan rock popular Britain, Coldplay menjana pendapatan AS$65 juta (RM290.4 juta) daripada Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT), sekali gus menjadikan antara jualan siri jelajah konsert yang tertinggi di dunia.
Menurut ciapan pelayar Twitter, The Boss Asia, Coldplay dan penganjur siri jelajah MOTSWT di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November depan dianggarkan mampu meraih jualan tiket sebanyak RM56 juta.
"Ramalan pertama, jumlah tiket yang akan terjual adalah sebanyak 65,000. Terdahulu, tiket Blackpink terjual 62,000 dan tiket AR Rahman 2023 terjual 67,000.
"Ramalan kedua, harga tiket #MOTSWT di Indonesia lebih kurang sama di Malaysia. Disebabkan tak tahu jumlah setiap kategori tempat duduk, kita anggarkan harga tiket (RM862.50) untuk mewakili harga semua tempat duduk.
"Jadi, jumlah kasar jualan tiket Coldplay #MOTSWT di Bukit Jalil adalah RM56,062,500 juta.
"Dengan jumlah ini, Billboard jangka #MOTSWT akan menjana pendapatan USD600 juta (RM2.6 billion) untuk Coldplay, sekali gus menjadikan #MOTSWT dalam senarai Top 5 jelajah paling berjaya di dunia," lapor ciapan The Boss Asia.
Sementara itu, The Boss Asia turut menjelaskan majoriti jualan tiket konsert bukanlah sepenuhnya diterima oleh Coldplay.
"Ada banyak kos terbabit untuk menganjurkan konsert. Keuntungan jualan tiket akan diperoleh artis, tempat, promoter dan kerajaan.
"Jualan tiket untuk bayar apa? Pertama, tempahan dan pengurusan bayaran.
"Sebanyak 10 peratus jualan tiket akan digunakan untuk membayar kos tiket dan pemprosesan (cetakan, platform, pengurusan).
"Sebahagian 10 peratus akan diberikan semula kepada artis, pemilik lokasi dan promoter.
"Kedua, cukai hiburan. Kadar cukai hiburan berbeza mengikut negara dan Malaysia sebanyak 25 peratus," tulisnya.
Seterusnya, menurut The Boss Asia royalti persembahan awam, kos tetap, pengagihan bayaran antara artis dan promoter, kru artis termasuk pengurus artis adalah antara yang akan menerima sebahagian keuntungan jualan tiket.
Terdahulu, demam konsert Coldplay di ibu negara, tambah hangat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengalukan kedatangan kumpulan rock popular Britain itu ke Malaysia.
Perdana Menteri mengucapkan selamat datang kepada Coldplay melalui ulang siar hantaran kumpulan rock terkemuka itu di Twitter, semalam.
Sejak beberapa hari lalu, peminat berkongsi keterujaan apabila Coldplay yang dianggotai Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion, bakal mementaskan konsert dalam siri jelajah, MOTSWT di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November depan.
"Welcome to Kuala Lumpur (Selamat datang ke Kuala Lumpur)," tulisnya ringkas.
Ciapan Perdana Menteri disambut baik peminat yang tidak sabar menantikan konsert pertama kumpulan yang diasaskan di London, United Kingdom (UK) pada 1997 itu di Malaysia.
Sejak Coldplay mengumumkan Malaysia menjadi sebahagian daripada negara persinggahan untuk menjayakan konsert jelajah dunia, rata-rata peminat tempatan berkongsi kegembiraan dan masing-masing mahu mendapatkan tiket.
Selain Malaysia yang menjadi pilihan, Coldplay dijangka beraksi di beberapa negara lain iaitu Jepun pada 6 November dan 7 November) disusuli Taiwan (11 November); Indonesia (15 November) dan Australia (18 November).
Siri jelajah dunia Coldplay bermula sejak Mac tahun lalu. Band yang terkenal dengan rangkaian lagu popular Paradise, The Scientist, Fix You dan Yellow, My Universe, Hymn for the Weekend, Viva La Vida, banyak meraih anugerah antarabangsa.
Antara trofi diterima Favourite Touring Artist oleh Anugerah AMA pada 2022 dan Tour of the Year 2023 pada Anugerah iHeartRadio, baru-baru ini.
Coldplay meneruskan siri jelajah dunia, bulan ini di Sepanyol, UK, Itali, Denmark, Belanda dan Amerika Syarikat (AS) sehingga Oktober sebelum meneruskan siri jelajah di Asia dan Australia.
Tiket konsert Coldplay di Kuala Lumpur akan mula dijual pada 17 Mei ini bermula 10 pagi di www.livenation.my.