MUMBAI: Pemergian bintang legenda Bollywood, Asha Bhosle, 92, yang meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ, Ahad lalu, turut diratapi aktres popular, Priyanka Chopra yang berkongsi foto kenangan bersama bintang legenda itu di Instagram (IG).
Chopra yang berkahwin dengan penyanyi kumpulan Jonas Brothers, iaitu Nick Jonas pada 2018, turut memuat naik video Bhosle mendendangkan lagu Dil Cheez Kya Hai.
Antara lain, Chopra menitipkan catatan penuh emosi bagi meratapi pemergian legenda itu, sambil menyifatkannya sebagai antara anugerah terhebat yang pernah dimiliki dunia muzik.
"Sesetengah kehilangan terasa seperti kita lenyap sebahagian daripada zaman kanak-kanak, kenangan dan 'rumah' kita. "Asha Ji adalah perkara itu bagi ramai dalam kalangan kita," katanya dalam hantaran itu.
Chopra berkata, suara mendiang Bhosle bukan sekadar sebahagian daripada muzik India, malah, menjadi latar kehidupan.
"Suara itu bergema di rumah ketika membesar, dalam setiap sambutan keluarga, saat patah hati, gembira serta detik sunyi dan hingar yang akhirnya menjadi kenangan tanpa kita sedari.
"Bagi generasi saya dan ramai sebelum serta selepasnya, beliau bukan sekadar legenda yang dikagumi, tetapi suatu kehadiran yang sentiasa ada.
"Suara yang begitu abadi sehingga terasa ia akan kekal selamanya. Sukar untuk diungkapkan makna kehilangan seseorang yang karyanya membentuk lanskap emosi seluruh negara.
"Terima kasih, Asha Ji, kerana menghadiahkan kami seumur hidup lagu, rasa dan keindahan," katanya.
Chopra mengakhiri catatannya dengan menyatakan legasi mendiang Bhosle akan terus hidup.
"Bersemadilah dengan tenang. Suaramu akan terus hidup di tempat semua legenda sejati berada, iaitu selamanya di hati kami," katanya.
Kelmarin mayat Bhosle disemadikan dalam istiadat negara di Shivaji Park, Mumbai.
Sejak pagi, ribuan orang termasuk bintang ternama Bollywood dan peminat dari pelbagai lapisan masyarakat membanjiri kediaman mendiang Bhosle di Casa Grande, Lower Parel, di sini, bagi memberi penghormatan terakhir dan mengucapkan selamat tinggal kepada ikon seni suara India itu.
Antara yang hadir memberi penghormatan adalah Sachin Tendulkar; A R Rahman; Ranveer Singh; Tabu; Ketua Menteri Maharashtra, Devendra Fadnavis serta Riteish Deshmukh.
Turut menghadiri upacara penuh penghormatan di Shivaji Park itu adalah Aamir Khan, Vicky Kaushal dan pengarah Ramesh Sippy, lapor The Indian Express.
Sepanjang kerjayanya, Bhosle diangkat sebagai antara penyanyi paling berjaya dan prolifik dalam sejarah muzik filem Hindi.
Namanya sering disebut sebaris dengan kakaknya, mendiang Lata Mangeshkar, yang turut dikenang sebagai legenda muzik India.
Dilahirkan pada 1933 dalam keluarga seni Mangeshkar, Bhosle mula menyanyi secara profesional seawal usia sembilan tahun.
Beliau merakam lagu filem pertamanya pada 1943 sebelum mencipta nama besar dalam industri Bollywood sekitar era 1950-an.
Pada awalnya, Bhosle sering dikaitkan dengan lagu berentak kabaret dan tarian, namun, beliau berjaya memecahkan stereotaip itu.
Kehebatan vokalnya terserlah apabila menyampaikan lagu ghazal dengan penuh jiwa, termasuk karya ikonik dalam filem Umrao Jaan.
Sepanjang perjalanan seni, mendiang Bhosle meraih pelbagai pengiktirafan termasuk tujuh Anugerah Filmfare Penyanyi Playback Wanita Terbaik.
Selain itu, mendiang Bhosle turut memenangi Anugerah Filem Kebangsaan India menerusi lagu Dil Cheez Kya Hai dan Mera Kuch Saamaan.
Dalam tahun-tahun terakhir kehidupannya, beliau banyak ditemani cucunya, Zanai Bhosle, yang mewarisi bakat seni keluarga. - AGENSI