Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Dalam ramai yang mungkin lebih memberi perhatian kepada imej seksi gadis ini, Scha Elinnea perlahan-lahan membuktikan dirinya berbakat.
Malah, sejak mula berlakon pada 2018 menerusi drama rantaian Mr Grey, Scha atau nama sebenar, Natasha Mohamed Mubeen tidak putus rezeki.
Gadis kelahiran Kelantan dan membesar di Kedah ini turut diberi kepercayaan memikul watak utama.
Lebih mengujakan heroin drama SiTik Tok siaran TV3 ini, dia dibariskan dalam calon awal kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.
"Saya tahu sampai sekarang, mungkin masih ada yang menganggap saya hanya mempertaruhkan gaya seksi dan paras rupa semata-mata.
"Saya tak boleh berbuat apa-apa jika begitu anggapannya. Pastinya, apa yang saya pakai tidak boleh diukur dengan kerjaya sebagai anak seni. Soal penampilan itu lebih kepada gaya hidup dan fesyen.
"Hakikatnya, saya minat berlakon. Saya masih hijau dan jauh lagi perjalanan. Dengan pencalonan pada ABPBH 34, saya anggap langkah mula diperhatikan," katanya kepada BH Online.
Akui Scha lagi, dia sedar persaingan dalam kategori berkenaan cukup sengit.
"Siapa tidak mahu menang? Dapat dibariskan dalam 20 calon awal pun sudah besar rahmatnya, belum lagi Top 5.
"Saya percaya prestij ABPBH dalam memberi lonjakan kepada kerjaya seni artis," katanya.
Scha mengaku calon lain dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular ABPBH 34 bukan calang-calang.
"Kelab peminat saya, The Elinnea's FC juga tidak sekuat FC lain. Namun, saya percaya kepada keajaiban dan rezeki," katanya.