Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
PUTRAJAYA: Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, bulan depan, memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Anugerah BBNU Tonton dan Oppa Pilihan Tonton.
Dua kategori baharu itu diperkenalkan selaras kerjasama sulung acara anugerah itu dan platform penstriman, Tonton.
Penerbit Eksekutif TADS 2003, Nurhul Huda Khalid berkata, pihaknya akan berusaha membawa pemenang bagi kategori Oppa Pilihan Tonton iaitu membabitkan calon lima pelakon dan penyanyi K-Pop dari Korea Selatan menghadiri malam kemuncak itu.
"Sempena kerjasama dengan Tonton tahun ini, kami tambah dua kategori iaitu Anugerah BBNU Tonton dan Oppa Pilihan Tonton.
"Lazimnya, kita boleh lihat peminat lebih suka selebriti lelaki. Jadi, kami bawakan kategori ini untuk peminat drama popular tvN Asia.
"Kami sedang berbincang membawa pemenang kategori Oppa Pilihan Tonton ke Malaysia. Calonnya adalah lima pelakon dan penyanyi K-Pop iaitu Choi Si Won, Cha Eun-Woo, Ahn Bo-Hyun, Kim Min-Kyu dan Kim Min Jae.
"Namun, semuanya masih dalam perbincangan bersama tvN Asia. Kami belum boleh janjikan apa-apa tetapi kami cuba yang terbaik... Insya-Allah," katanya pada sidang media memperkenalkan hos, calon dan barisan penyampai TADS 2023 di pusat beli belah di IOI City Mall di sini, hari ini.
Yang turut hadir Penerbit TADS 2023, Mohd Hanafy Mohd Sani.
TADS 2023 akan disiarkan dari Dewan Perdana, PICC di sini, pada 12 Mac depan.
Nurhul Huda berkata, TADS 2023 meraikan keringat dan tulang belakang industri penerbitan drama untuk edisi kedua.
"Kalau diikutkan, ini adalah siri kedua anugerah ini. Sebelum ini, kami bawa ADS pada 2021 dan disebabkan berlakunya tragedi tahun lalu, kita tidak anjurkan acara ini.
"Namun, tahun ini, kami bawakan TADS 2023 dengan kerjasama Tonton. TADS adalah acara anugerah yang mahu mengangkat drama TV3 yang dikenali melalui slot Drama Sangat yang juga menjadi ikutan ramai peminat.
"Dahulu kita ada Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL). Jadi, sekarang kami mahu berevolusi dan mengangkat drama yang ditayangkan di slot Drama Sangat TV3.
"Antaranya drama Melur Untuk Firdaus, 7 Hari Mencintaku 3, Suamiku Lelaki Pendosa dan banyak lagi," katanya.
Antara drama disajikan sejak Julai 2021 hingga Oktober 2022 yang disenarai pendek adalah Budak Tebing 2, Ayahanda, Bisik Bisik Gelora, Risik Pada Hati, Khilaf Asmara, Aku Tanpa Cintamu, Sekali Lagi Cinta Kembali dan banyak lagi.
Sementara itu, TADS 2023 akan dikendalikan hos Sherry Alhadad dan Sharifah Shahirah.
Antara barisan artis tanah air yang menggalas tanggungjawab sebagai penyampai trofi adalah Ummi Nazeera, Nabila Huda, Meerqeen, Anna Jobling, Fasha Sandha, Datuk Rosyam Nor, Aniq Suhair, Siti Khadijah Halim dan ramai lagi.
Artis yang bakal membuat persembahan adalah Stacy, Mimi Fly, Liza Hanim, Misha Omar, Bella Astillah, Wani Kayrie, Ayda Jebat, Fyna Jebat, Haqiem Rusli, Afieq Shazwan, Amir Masdi, Rahmad Mega, Zaki Yamani, Yamani Abdillah dan Hael Husaini.
Antara kategori dipertandingkan adalah Drama Terbaik; Drama Popular: Drama Terbaik 8TV: Pengarah Terbaik; Penulis Skrip Terbaik; Pelakon Lelaki Terbaik; Pelakon Wanita Terbaik; Pelakon Lelaki Popular dan Pelakon Wanita Popular.
BH dan Harian Metro diumumkan Rakan Media manakala Oh Bulan dan Xtra sebagai Rakan Digital.