Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Caca sedih dengar jeritan minta tolong

22 Dec 2021 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Mendiami antara lokasi paling teruk dilanda banjir iaitu Taman Sri Muda di Seksyen 25, Shah Alam, pelawak Caca sedih mendengar penduduk menjerit meminta tolong pada waktu malam gara-gara bantuan lambat sampai ke kawasan perumahan itu.

Caca atau nama sebenar, Abdul Halim Abdul Malek yang juga bekas peserta musim keempat program realiti, Raja Lawak, menetap di Flat Mediterranean di Taman Sri Muda, sejak 1995.

"Jika tidak silap, kali terakhir banjir di kawasan ini adalah pada 1995. Namun, ketika itu, paras air tidak tinggi... Setakat pinggang.

"Berbeza kali ini, air mencecah tingkat pertama flat saya. Rumah saya di tingkat empat.... Alhamdulillah. Rumah saya selamat cuma ada kebocoran akibat hujan lebat.

"Namun, kereta saya tenggelam dan gerai yang diusahakan di bawah rumah juga rosak. Barang-barang perniagaan semuanya hanyut dibawa arus.

Caca mendiami Taman Sri Muda di Seksyen 25, Shah Alam sejak 1995. Foto Ihsan Caca
Caca mendiami Taman Sri Muda di Seksyen 25, Shah Alam sejak 1995. Foto Ihsan Caca

"Namun, itu bukan masalah yang dianggap terlalu besar buat saya. Saya lebih sedih melihat keadaan sekeliling yang menghadapi ujian lebih berat daripada saya," katanya kepada BH Online.

Caca berkata, insiden kedai runcit dipecah masuk paling menyentuh hatinya. Dakwa Caca, perlakuan itu dipercayai berpunca daripada pihak yang terdesak gara-gara bantuan makanan lambat tiba.

"Bantuan lambat sampai dan ramai yang tidak boleh bersabar. Apabila malam, boleh dengar mereka menjerit minta tolong.

"Itu yang membuatkan saya terlalu sedih. Kita faham mereka ada anak kecil, ada yang tiada makanan, susu dan sebagainya," katanya.

Caca mendakwa bantuan makanan kepada penduduk Taman Sri Muda tiba lambat.

"Tiada bantuan sampailah hari ketiga, baru betul-betul ada stok makanan. Itu pun selepas air surut, baru bantuan makanan sampai.

"Bantuan diagihkan ke kawasan rumah teres di bahagian belakang rumah pangsa ini. Di flat ini, tiada bantuan diterima.

"Namun, hari ini, banyak wakil dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang beri bantuan," katanya.

Caca berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan nasib mereka termasuk pihak yang tidak lelah berulang-alik menghulurkan barangan keperluan.

Foto tempat letak kenderaan di luar rumah pangsa dihuni Caca ketika banjir melanda. Foto Ihsan Caca
Foto tempat letak kenderaan di luar rumah pangsa dihuni Caca ketika banjir melanda. Foto Ihsan Caca

"Semoga Allah membantu segala kebaikan mereka. Terima kasih menjadikan klip video Taman Sri Muda viral kerana sebelum ini, kurang mendapat perhatian," katanya.

Caca berkata, usaha membersihkan Taman Sri Muda dianggap sangat penting.

"Jika ada sukarelawan yang tampil membantu, Alhamdulillah. Kalau mahu mengharapkan kami, memang tidak mampu sebab terlalu teruk," katanya.

Caca berkata, selepas empat hari banjir melanda, dia lega melihat air makin surut. Namun, hujan lebat mulai jam 4 pagi tadi menggusarkan dirinya.

"Air sudah mula naik tetapi tidaklah pada paras bahaya... Hanya sampai betis," katanya.

Bagaimanapun, Caca berdoa agar hujan dapat membersihkan sisa lumpur yang melekat.

Ketika dihubungi, Caca memberitahu bateri telefon pintarnya berada pada tahap kritikal dan rumahnya terputus bekalan elektrik.

"Bekalan elektrik masih tiada. Saya bergantung kepada 'power bank' yang dipinjam daripada kawan," katanya.

Cada berkata, penduduk sedar Tenaga Nasional Berhad (TNB) bimbang andai bekalan elektrik disambung akan berlaku pintasan elektrik dan sebagainya.

"Kami mohon buatlah yang terbaik untuk kami. Apabila tiada bekalan elektrik, banyak hubungan terputus. Kita tidak tahu mungkin ada yang sakit dalam rumah," katanya.