Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Bukan senang jadi pengacara - Jihan Muse

02 Nov 2021 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Mula berjinak-jinak dengan dunia pengacaraan melalui program realiti, Diari Akademi Fantasia (AF) pada 2014, Jihan Muse mengaku tanggungjawab sebagai hos bukan mudah.

Jihan berkata, tawaran menjadi pengacara datang bersama tanggungjawab berat.

"Siapa pun kita, apabila kita jadi hak milik masyarakat, orang akan sentiasa memerhati dan mendengar apa yang kita kita perkatakan.

"Jadi, sebagai pengacara, kita perlu sentiasa berhati-hati dan mengawal diri serta tutur kata.

Mula mengacarakan program sejak 2014, Jihan percaya setiap hos perlu sentiasa sedar diri dan menjaga ruang dalam interaksi. Foto IG Jihan Muse
Mula mengacarakan program sejak 2014, Jihan percaya setiap hos perlu sentiasa sedar diri dan menjaga ruang dalam interaksi. Foto IG Jihan Muse

"Memang kadang-kala apabila ramai-ramai, kita jadi sangat teruja untuk bercakap hingga terkeluar cerita dalam kain yang tidak sepatutnya didedahkan kepada umum," katanya kepada BH Online.

Jihan berkata, baginya, pengacara perlu sentiasa sedar diri dan menjaga ruang dalam interaksi.

"Apa yang berlaku kepada rakan-rakan saya baru-baru ini sebenarnya memberi pengajaran kepada saya dan teman lain.

"Kita tidak boleh menuding jari kepada mereka yang melakukan kesilapan. Ini mungkin hari mereka, esok lusa kita pula yang buat silap.

"Jadi, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Sebaliknya, saya cuba kawal sedaya mungkin untuk mengelak daripada mencetuskan kontroversi," katanya.

Sementara itu, ibu Ungku Arsalan Haq berusia tiga tahun ini bersyukur kerjaya seninya tidak terjejas sepanjang pandemik COVID-19.

Malah, sepanjang tempoh itu, Jihan terpaksa menolak beberapa tawaran berikutan tidak kena dengan masa.

"Saya terpaksa pilih 'job' ikut kesesuaian masa kerana tidak mahu menyusahkan orang lain," katanya.

Jihan juga mula membiasakan diri bekerja dari rumah.

"Saya banyak belajar bekerja dalam norma baharu. Sebelum ini, saya hanya jadi pengacara dengan segala peralatan rakaman disediakan kru.

"Apabila bekerja secara maya, saya kena belajar cara meletakkan kamera dan mengawal sistem audio sendiri di rumah.

"Selain itu, saya juga perlu membayangkan penonton ada di depan mata. Perkara itu bukanlah mudah," katanya.

Sementara itu, mengulas peluang meraih trofi Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Jihan menganggap suatu keajaiban jika dia dapat merampas trofi itu daripada Sherry Alhadad yang diumumkan pemenang, tahun lalu.

"Alhamdulillah, jika menang. Saya mahu lihat kelab peminat, Jihanizer seronok atas usaha keras dan sokongan mereka.

"Sebagai artis, apabila peminat bersusah-payah untuk kita, saya harus membayar balik usaha mereka dengan bekerja secara ikhlas, bagus dan berkualiti.

"Setiap kali dicalonkan, saya tidak pernah mengharapkan apa-apa. Kalah atau menang, saya terus sokong ABPBH yang mengangkat artis," katanya.

Jihan, 38, pernah membawa pulang trofi Artis Komedi Wanita Popular pada ABPBH 2013.