BERITA ABPBH

'Bukan lari dari kecaman'

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kepulangan pelakon sensasi, Lana Nodin ke Amerika Syarikat (AS), Sabtu lalu, bukan kerana tidak tahan kritikan netizen membabitkan isu vaksin.

Sebaliknya, pelakon berusia 41 tahun ini memberitahu, mereka sekeluarga terpaksa pulang ke AS untuk menziarahi ibu mentua yang uzur akibat sakit tua. Apatah lagi, sudah hampir tiga tahun mereka tidak pulang berikutan sekatan perjalanan.

Pelakon Kekasih Hati Mr Bodyguard itu berkata, selain melawat ibu mentua, dia dan suami, Mohd Daud Mckienzie perlu menguruskan beberapa perkara sepanjang berada di AS.

"Kesihatan ibu mentua kurang baik... Dia sudah berusia lebih 80 tahun.

"Sebelum ini, Mei lalu, kami merancang pulang ke AS. Namun, disebabkan beberapa kekangan, kami terpaksa menukar tarikh tiket penerbangan beberapa kali.

"Kali ini, kami tidak boleh tangguhkan lagi rancangan pulang kerana bimbang keadaan ibu mentua.

"Lagipun, suami adalah anak lelaki tunggal. Jadi, dia perlu menandatangani beberapa dokumen berkaitan pewarisan harta.

"Selain itu, visa suami sudah hampir tamat tempoh. Jadi, suami perlu keluar dari negara ini terlebih dulu," katanya kepada BH Online.

Lana bersama suami dan anak-anaknya pulang ke AS untuk menziarahi ibu mentua yang uzur. - Foto IG Lana Nodin
Lana bersama suami dan anak-anaknya pulang ke AS untuk menziarahi ibu mentua yang uzur. - Foto IG Lana Nodin

Lana berkata, mereka juga akan menjenguk kediaman yang ditinggalkan sejak hampir tiga tahun lalu.

Tambah Lana, suaminya bercadang menjual hartanah di Los Angeles dan mencari kediaman baharu di Florida.

"Selalunya, enam bulan sekali kami pulang ke AS. Namun, disebabkan COVID-19, hampir tiga tahun kami tidak pulang.

"Jadi, kali ini, kami merancang tinggal lebih lama, mungkin sehingga awal tahun depan. Banyak urusan perlu diselesaikan termasuk pembelian hartanah.

"Selain itu, suami ada perniagaan di sana dan perlu meninjau operasinya," katanya.

Lana berharap keputusan untuk pulang ke AS tidak dijadikan bahan sensasi atau spekulasi konon dia melarikan diri daripada mendapat suntikan vaksin.

Lana atau nama sebenar, Mazlina Hassan Nodin menjelaskan, dia tidak pernah memberitahu sesiapa konon dirinya enggan divaksin.

Lana dan keluarga hampir tiga tahun tidak dapat pulang ke AS disebabkan COVID-19. - Foto IG Lana Nodin
Lana dan keluarga hampir tiga tahun tidak dapat pulang ke AS disebabkan COVID-19. - Foto IG Lana Nodin

Sebaliknya, keadaan kesihatan anak kedua, William Daud McKienzi yang berusia dua tahun yang menghadapi masalah jantung, menyebabkan dia terpaksa menangguhkan hasrat mendapat suntikan vaksin COVID-19.

"Sesuka hati mereka tuduh saya antivaksin. Mereka tidak tahu saya ada alasan kukuh dan surat doktor menjelaskan kenapa saya belum mahu divaksin.

"Saya mahu tunggu dahulu kerana anak kedua masih menyusu badan. Mereka yang tidak memiliki anak seperti saya bebas berkata apa sahaja.

"Namun, sebagai ibu, saya tidak mahu disebabkan tindakan terburu-buru boleh membahayakan nyawa anak.

"Saya tidak mahu pentingkan diri. Insya-Allah sekiranya kajian vaksin diumumkan, saya akan mengambilnya di AS," katanya.

Ditanya adakah dia akan menetap terus di AS, Lana berkata, dia merancang pulang ke Malaysia, tahun hadapan dan tidak bercadang terus tinggal di AS.

Lana mendirikan rumah tangga dengan Mohd Daud pada 15 Mei 2015.

Selain William, pasangan itu dikurniakan seorang lagi cahaya mata, Gia Quinn McKienzie berusia empat tahun.