Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Bila isu kecurangan, kenapa ungkit kisah silam saya? - Abby

09 Jan 2023 | Farihad Shalla Mahmud

KUALA LUMPUR: Pelakon Abby Abadi bengang apabila ada pihak sering mengungkit kisah silamnya setiap kali isu curang dalam kalangan artis menjadi tular.

Meluahkan rasa kesal menerusi hantaran video di platform TikTok, Abby mendakwa tindakan itu seperti menabur fitnah kerana apa yang diperkatakan tidak benar.

"Bila ada isu rumah tangga dalam kalangan artis, ada yang curang mesti terkait dan dikaitkan dengan saya.

"Saya buat video untuk seronok-seronok pun orang mengata. Saya okay sahaja kalau cakap yang indah-indah.

"Ini memandai-mandai kata itu dan ini, siap bagi contoh kisah saya, kemudiannya sambung fitnah macam saya pula bersalah," tulisnya.

Enggan membiarkan prasangka buruk berulang, pelakon drama bersiri GeraK Khas ini menggunakan platform itu untuk menjelaskan situasi sebenar.

"Sejujurnya, saya tak pernah serang sesiapa sebab saya tak tahu siapa orang ketiga atau keempat.

"Saya juga tak berjaya periksa telefon bimbit bekas suami dan dan menjejak gerak-gerinya sebab sibuk menjalani penggambaran.

"Yang kata saya serang bekas suami di lokasi penggambaran itu sebenarnya saya mencarinya sebab lama tak jumpa dan mahukan penjelasan. Tak bawa senjata pun.

"Saya marah dan menangis kerana bekas suami sudah lama tak balik rumah dan hampir nak bercerai-berai.

"Takkanlah saya nak berseronok pula," luah Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan.

Abby kini bahagia bersama keluarga besarnya, kekal bersahabat dengan Norman dan Memey.
Abby kini bahagia bersama keluarga besarnya, kekal bersahabat dengan Norman dan Memey.

Tambahnya, dia lebih selesa mengunci mulut dan memendam rasa dari membiarkan perkara sebenar diketahui pihak tidak sepatutnya.

"Apa yang boleh saya cakap, saya tak bercerita banyak benda. Terlalu banyak saya simpan selama ini.

"Hanya saya dan Allah sahaja yang tahu. Keluarga tak tahu dan arwah emak dan arwah ayah pun tak tahu.

"Adik beradik dan anak-anak pun tak tahu. Kepada makcik-makcik di luar sana, jangan berlagak tahu semua," tegasnya.

Walaupun tidak menyatakan siapakah bekas suami dimaksudkan, namun dipercayai luahan Abby itu ada kaitan dengan kes perceraiannya dengan pelakon Norman Hakim pada 2009 yang cukup kontroversi ketika itu.

Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Faizal Zakaria pada 2015, manakala Norman pula berkahwin kali kedua dengan pelakon Memey Suhaiza pada September 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Biarpun pernah melalui pengalaman pahit dalam rumah tangga, kini Abby kekal bersahabat dengan Norman dan Memey.