LOS ANGELES: Penyanyi pop terkenal, Beyoncé sekali lagi mencipta sejarah Anugerah Grammy apabila menjadi artis pertama meraih 100 pencalonan sepanjang kerjaya, susulan lagu Morning Dew (Donk) mendapat tempat dalam kategori Persembahan Solo R&B Terbaik.
Pencapaian itu mengukuhkan kedudukan Beyoncé sebagai antara nama paling berpengaruh dalam sejarah anugerah muzik berprestij berkenaan, selepas sebelum ini mencipta rekod sebagai artis dengan kemenangan Grammy terbanyak.
Lagu Morning Dew (Donk) yang belum pernah dilancarkan secara rasmi sebelum ini diperkenalkan pada 4 Julai lalu, menjelang ulang tahun ke-20 album studio keduanya, B'Day.
Lagu berkenaan ditulis Beyoncé bersama Pharrell Williams, The-Dream dan Darius Dixon, manakala proses penerbitannya dikendalikan Beyoncé dan Williams.
Dalam kategori Persembahan Solo R&B Terbaik, lagu itu bakal bersaing dengan Out the Window nyanyian Kehlani, Let Me (Victoria Monét), Pressha (Jill Scott) dan What You Need (Tems).
Menurut laporan Variety, Beyoncé sebelum ini mencipta sejarah pada 2023 apabila menjadi artis dengan kemenangan Grammy terbanyak selepas meraih empat trofi pada majlis berkenaan, sekali gus meningkatkan jumlah kemenangannya kepada 32.
Anugerah yang membolehkannya memecahkan rekod itu ialah Album Dance/Elektronik Terbaik menerusi Renaissance.
Sebelum pencapaian Beyoncé, rekod kemenangan Grammy terbanyak dilaporkan dipegang tokoh muzik klasik, Georg Solti, yang mengumpul 31 trofi. Solti meraih anugerah terakhirnya pada 1997 menerusi kategori Rakaman Opera Terbaik, tahun yang sama beliau meninggal dunia.
Pada 2024, Beyoncé turut mengatasi suaminya, Jay-Z, untuk menjadi artis paling banyak menerima pencalonan Grammy sepanjang zaman selepas memperoleh 11 pencalonan menerusi album Cowboy Carter.
Ketika itu, kedua-duanya dilaporkan berkongsi rekod dengan 88 pencalonan sebelum Beyoncé melangkaui pencapaian berkenaan.
Beyoncé menambah tiga lagi trofi Grammy pada 2025, menjadikan jumlah kemenangannya sebanyak 35, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai artis dengan kemenangan terbanyak dalam sejarah Grammy.
Menerusi kemenangan pertama Cowboy Carter dalam kategori Album Terbaik pada Februari 2025, Beyoncé turut menjadi wanita kulit hitam keempat memenangi anugerah utama itu sebagai artis utama, selepas Natalie Cole, Lauryn Hill dan Whitney Houston.
Album berkenaan turut memenangi kategori Album Country Terbaik, manakala lagu II Most Wanted bersama Miley Cyrus membawa pulang trofi Persembahan Duo/Kumpulan Country Terbaik.
Beyoncé menerima pencalonan Grammy hampir setiap tahun sejak kumpulannya, Destiny's Child, meraih dua pencalonan pada 2000 menerusi lagu Bills, Bills, Bills.
Lagu itu dicalonkan dalam kategori Lagu R&B Terbaik serta Persembahan R&B Terbaik oleh Duo atau Kumpulan dengan Vokal.- VARIETY