Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Kak KM buat hal lagi. Umpama magnet kontroversi, usahawan dikenali Kak KM atau nama sebenar, Liana Rosli, sekali lagi 'panas' apabila video tepuk punggung yang dikongsi anak kepada pelakon veteran, Normah Damanhuri itu di Instagram (IG), baru-baru ini, dikecam netizen.
Menampilkan Kak KM bersama tiga selebriti dan usahawan iaitu penyanyi Ifa Raziah, Datuk Seri Vida dan Cheta Pot Pet, video itu dirakam selepas sidang media Minggu Usahawan Negara 2022 di Malaysian Grand Bazaar@Lalaport Bukit Bintang City Centre (BBC), Kuala Lumpur, yang bakal berlangsung empat hari mulai 24 Jun ini.
Menerusi video itu, Kak KM yang mengenakan baju kebaya menepuk punggung tiga rakan usahawannya itu.
Dalam video viral itu, sambil menepuk satu persatu punggung tiga rakannya, Kak KM menyebut:
"Punggung siapa yang paling mencengkam sekali, kita tengok! Jadi siapa nak dapatkan punggung paling 'aum' sekali, korang kena datang (ke tempat acara berlangsung)," katanya.
Tindakan Kak KM pantas mengundang amarah netizen yang mengkritik perlakuan usahawan itu yang tidak habis-habis mencetuskan kontroversi dan publisiti murah demi melariskan produk, tanpa memikirkan sensitiviti orang lain termasuk kanak-kanak yang dikhuatiri menonton aksi mereka.
Seorang pengguna Facebook (FB) memuat naik status yang merujuk kepada perlakuan Kak KM, Ifa, Vida dan Cheta Pot Pet berbunyi:
"Kekayaan dunia yang mereka cari menjadikan mereka terus miskin. Moga Allah ampuni mereka."
Reaksi pengguna FB terbabit mewakili suara pelayar internet yang bimbang dengan kecenderungan segelintir pemilik akaun media sosial termasuk peniaga mencipta kandungan sensasi berpaksikan keinginan menjadikannya tular, tanpa memikirkan implikasi termasuk maruah diri.
Terpanggil melontarkan pandangan dalam kontroversi terbaharu dicetuskan Kak KM, pendakwah bebas, PU (Pencetus Ummah) Amin atau nama sebenar, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim menyelar tindakan usahawan terbabit dan tiga rakannya itu.
Amin menyifatkan aksi mereka seolah-olah tidak memikirkan soal maruah dan sensitiviti agama Islam.
"Yang buat aksi itu bukan anak orang, tapi mak-mak orang. Tidak fikirkah fasal maruah, sensitiviti agama dan anak kecil yang menontonnya?
"Ingatlah balasan Tuhan. Ingatlah azab dan bala bencana Allah SWT. Bertepuk tampar punggung di khalayak awam, ramai yang menyaksikannya.
"Apakah boleh jadi 'trend' selepas ini? Ramai yang menontonnya, macam syok saja... Janganlah sampai macam itu sekali," katanya kepada BH Online.
PU Amin menambah, tindakan tanpa kawalan itu mengundang rasa seronok, selain didorong galakan serta sokongan masyarakat ke atas mereka.
"Kita pun kadang-kadang mungkin 'dibeli' dengan kekayaan insan seperti itu. Mereka suka dipuji dan dipuja... Kita sokong.
"Kita tidak pernah rasa hendak boikot dia. Kenapa begitu? Sebabnya kita suka tengok kekayaan orang macam mereka," katanya.
PU Amin berkata, usahawan tidak boleh berniaga dengan 'menjual' tubuh sendiri.
"Berhentilah berperangai macam ini. Takut anak-anak kita pun ikut perkara sama. Semoga Allah terus memelihara kita. Jangan sebab kelakuan macam ini, turun pula bala bencana," katanya.
Sementara itu, PU Syed Bakri Benyahya melihat normalisasi dosa sudah menjadi aliran dalam melariskan jualan produk.
"Normalisasi dosa seperti cara mudah mengekalkan seseorang dalam industri perniagaan atau menjual sesuatu. Walaupun ia terang-terangan menjatuhkan aib diri dan agama Islam.
"Golongan seperti ini begitu mudah menarik tumpuan ramai. Mereka lapar perhatian masyarakat dan lapar publisiti untuk kepentingan diri," katanya.
PU Syed Bakri berpendapat seharusnya suami, ibu dan ahli keluarga terdekat golongan terbabit wajib menegur dan menasihati mereka untuk berubah.
"Apabila kita tiada perasaan malu, maka akan dilakukan apa sahaja yang dikehendaki. Harap mereka berubah dan bertaubat.
"Jika suami, emak dan anak mereka tidak menegur, kita ambil peranan berkenaan. Selebihnya, terpulang kepada mereka. Sudah lepas tanggungjawab kita dengan berharap mereka jadi muslimah yang patuh agama," katanya.
PU Syed Bakri menambah, tindakan pihak berkuasa agama dan kementerian berkaitan ke atas pelaku sangat diperlukan bagi menangani kes perkongsian aksi melampau seumpama itu.
"Golongan ini sudah lama mempromosi gaya hidup sesat kepada masyarakat," katanya.
Sementara itu, Ifa atau nama penuhnya, Saripah Raziah Mustapha mempertahankan aksi mereka dalam video tular itu sekadar gurauan sesama mereka.
"Saya sudah 27 tahun jadi artis. Mana pernah ada cerita baik fasal saya bertebaran. Dari dulu sampai sekarang, asyik cerita negatif sahaja. Tetapi tidak pernah jadi 'kudis' pun.
"Hendak marah atau melenting pun tak guna. Mereka yang membenci ini membantu menaikkan dan mempopularkan jenama kita. Tetapi biasalah, setiap kita lakukan mengundang kebaikan dan keburukan," katanya.
Ifa berkata, aksi dalam video itu sering dilakukan mereka setiap kali berjumpa.
"Kami sekadar bergurau senda sesama kawan. Saya tak buat benda yang melampau. Bukannya kami berbogel, selak kain atau baju serta nampak benda yang tidak sepatutnya," kata penyanyi lagu Ser Ser Ser itu.
Ifa berkata, mereka bertepuk punggung sesama wanita dan tidak membabitkan lelaki.
"Tetapi tanggapan orang berbeza-beza. Kita tidak boleh halang persepsi orang. Lainlah kalau suami orang tampar bontot saya dan sebaliknya... Itu lainlah ceritanya.
"Video itu tular. Jadi, kita fahamlah orang hendak kandungan yang macam mana. Kita persembahkan supaya mereka (netizen) boleh kecam.
"Dunia hiburan ini untuk menghiburkan orang. Jadi, tak payah 'stress' (tertekan) engok kami... Saya okay sahaja," katanya.
Sementara itu, Vida atau nama lengkap, Hasmiza Othman berkata, sebagai wanita berusia, dia tidak berniat mencipta kontroversi, namun apa yang ditonjolkan dalam media sosial mudah membuat khalayak terkesan dan memandang serong.
"Itu cara saya tayang kekayaan 'aset' selain duit. Mempunyai punggung yang cantik dan terletak sebenarnya aset juga.
"Ada duit tak guna juga kalau kendur sini-sana. Saya tak nampak benda (perlakuan) ini pelik pun. Saya pun bukannya berjoget terkinja-kinja.
"Akhirnya terpulang kepada penerimaan orang. Tetapi kita walaupun sudah berumur, tidak bermakna, tidak boleh tayang 'aset' kita. Lagipun. itu video kita bergurau sesama teman rapat," katanya.
Lali dengan kecaman netizen, ibu Cik B ini menafikan dirinya jahil mengenai agama Islam hanya disebabkan video tular itu.
"Saya bukannya jahil. Tetapi janganlah pandang negatif. Sikit-sikit nak kecam saya. Ada orang beri nasihat dan teguran, saya terima. Kita belajar sama-sama kesilapan yang terjadi," katanya.