Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Prinsipnya, tak suka dan tidak sesekali mahu mengambil hak orang. Aktres, Nad Zainal, 32, menegaskan, pendiriannya tidak akan berganjak menentang kewujudan orang ketiga yang mengganggu ketenteraman dan kebahagiaan rumah tangga orang lain.
Terus menyatakan sokongan terhadap sahabat baiknya yang juga pelakon, Puteri Sarah Liyana yang kini berjuang untuk mempertahankan haknya dengan memfailkan tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap wanita dikenali sebagai Ira Kazar yang didakwa kekasih suaminya, Syamsul Yusof.
Aktres yang pernah diangkat sebagai Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 itu berkata, dia memang benci, tak suka dan takkan menyokong apa sahaja isu yang membabitkan orang ketiga.
"Kalau tahu hak orang, janganlah kita ambil, janganlah kita dekat walaupun sayang. Boleh rasanya jika dielakkan.
"Sayang memang tak boleh elak, tetapi untuk terkait dengan perhubungan cinta tiga segi, saya rasa ia boleh dielakkan," katanya kepada BH Online.
Diusik adakah merasai kepahitan dilalui Puteri Sarah disebabkan 'menghidupkan' watak perampas bernama Kirana dalam drama Dendam Seorang Isteri, Nad hanya ketawa.
"Walaupun saya bawa watak wanita 'penyondol', saya memang benci wanita yang suka 'menyondol' suami orang.
Sebagai wanita, tidakkah kita perlu menyokong sesama wanita.
"Apa pun terjadi apabila ada lelaki memburukkan wanita, kita kena fikir balik. Pada masa hadapan, mungkin dia juga boleh memburukkan kita.
"Jadi, fikirlah dua atau tiga kali kalau nak ambil hak orang. Jangan jadi macam Kirana," katanya.
Mengulas adakah watak Kirana wujud dalam dunia realiti, Nad berkata, dia mulanya memang tidak boleh nak menjawab persoalan berkenaan.
"Bila ada yang bertanya adakah watak Kirana wujud dalam dunia, saya tak tahu nak jawab.
"Tetapi, melihat apa yang berlaku pada sahabat baik, Puteri Sarah, saya percaya manusia seperti ini benar-benar wujud.
"Tak nafikan, kita rasa semua ini macam lakonan drama, tetapi ia sebenarnya wujud dalam alam realiti. Bukan di kalangan selebriti sahaja, tetapi wanita biasa juga melalui.
"Disebabkan itu, saya melihat pihak ketiga ini pula semakin berani, entahlah, saya pun tak tahu kenapa," katanya.
Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin berpendapat, dia tahu ada sahaja kes gangguan seperti ini, tetapi pihak ketiga tidak mengganggu isteri.
"Kalau sampai mengganggu isteri, anak-anak dan keluarga, itu sudah kes lain. Jika mahu jadi orang kedua, kena bawa diri sebagai orang kedua.
"Kena rapat dengan isteri pertama sebab kita sayang dan tak boleh berpisah dengan suami. Ya betul, kalau suami mampu, kita boleh tutup mata, tetapi jika silap percaturan, jadilah seperti Puteri Sarah.
"Dia pun ada maruah, cuma kalau orang tak menghormati dan berani mati mengganggu mental dan emosi, kita kena tegakkan hak. Apa yang penting juga adalah anak-anak.
"Walaupun tak hidup gembira, tetapi kena menggembirakan anak-anak," katanya.
Wanita kelahiran Kajang, Selangor itu berkata, dia sentiasa mendoakan Puteri Sarah kuat dan semua pun tahu, ramai yang menyokongnya.
"Kita tahu Puteri Sarah kuat dan bersikap kental. Dan walau apapun terjadi, saya doakan agar segala-galanya dipermudahkan dan dibukakan jalan penyelesaian.
"Saya turut mendoakan wanita mengalami nasib sama terus kuat. Pesanan ini juga saya tujukan buat Rossa Sera," katanya.