Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Membentuk kira-kira 34 peratus daripada 446 juta populasi umat Islam di Afrika, Pertubuhan Impak Prihatin Malaysia atau Impactive Malaysia (IM) terpanggil melancarkan misi kemanusiaan di Tanzania, sempena Aidiladha, bulan depan.
Sehubungan itu, tujuh individu bergelar ikon tempatan bakal menyertai Misi Kemanusiaan Afrika anjuran IM selama hampir dua minggu mulai 6 Julai ini di benua yang dihuni kira-kira satu bilion penduduk itu.
Tujuh ikon itu merangkumi selebriti, personaliti televisyen (TV), usahawan dan bintang media sosial iaitu Nadzmi Adhwa, Hazeman Huzir, Farah Lee, Akhi Fairuz, Que Yahaya, Nazirul dan ahli korporat, Aiman Hakim.
Misi kemanusiaan yang memberi fokus kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi itu adalah kunjungan kedua IM selepas misi pertama pada 2017.
Untuk misi kali ini, IM meletakkan sasaran mengumpul dana RM1.2 juta bagi membiayai kos agihan daging korban, keperluan persekolahan, wakaf al-Quran, baik pulih sekolah, kelengkapan ibadat dan bantuan mengajar.
Misi itu juga mahu mendapatkan 100 ekor lembu korban, 100 ekor kambing aqiqah dan 500 kilogram infak daging untuk diserahkan kepada penduduk Islam di Tanzania.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IM, Mohamad Khairul Jamain atau dikenali sebagai KJ, berkata program kemanusiaan itu membawa misi membantu masyarakat Islam di Tanzania yang sering ditindas dan terpinggir.
"Berbeza sekali dengan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. Masyarakat Islam di Tanzania sebaliknya sering dipinggirkan dan tidak mendapat perhatian.
"Dalam misi itu, kami akan berkunjung ke dua daerah utama yang akan menjadi sasaran iaitu Handeni dan Kilendi.
"Maklumat yang kami terima daripada rakan kerjasama, Islamic Help menunjukkan dua daerah terbabit dikategorikan paling miskin dan sangat memerlukan bantuan.
"Sehubungan itu, Tanzania menjadi lokasi sasaran kerana kurangnya bantuan dihulurkan kepada komuniti Muslim di negara itu. Ini sejajar dengan fokus IM yang melihat kepada komuniti dan isu terpinggir," katanya pada sidang media dan memperkenalkan barisan ikon yang akan menyertai Misi Kemanusiaan Afrikam di Bandar Baru Bangi, Bangi, baru-baru ini.
KJ mempunyai kepercayaan tinggi terhadap tujuh ikon yang dipilih berdasarkan kredibiliti masing-masing sebagai ejen penyebar maklumat dan kesedaran kepada pengikut masing-masing.
"Misi ini bukan usaha IM semata-mata. Projek ini dijayakan atas bantuan rakan ikon kemanusiaan yang mengambil bahagian. Tujuh ikon yang terbabit di dalam misi ini adalah individu yang aktif dalam isu kemanusiaan.
"Hasrat dan tujuan yang mereka bawa serupa seperti kami iaitu untuk mendepani isu kemanusiaan terutama bagi membantu komuniti masyarakat Islam di Afrika.
"Mereka memainkan pengaruh yang besar untuk memberikan kesedaran berhubung isu di Afrika dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.
KJ berkata, kumpulan ikon itu akan terbabit dalam aktiviti korban dan dibawa melawat ke kawasan penempatan penduduk yang memerlukan bantuan.
"Selain itu, kita meninjau pihak yang boleh dibantu pada masa akan datang seperti madrasah, sekolah dan sebagainya," katanya.
KJ berkata, IM turut menyasarkan projek yang mempunyai impak jangka masa panjang.
"Kita berharap projek ini dapat memberi impak kepada komuniti dalam aspek pembangunan pendidikan dan ekonomi. Kedua-dua aspek ini dianggap elemen penting yang saling berkait dalam ekosistem masyarakat setempat," katanya.
Berkongsi lanjut mengenai misi itu, Nadzmi sangat berbesar hati diberi kesempatan membantu saudara Islam di Tanzania dan menyifatkan pembabitannya bukan sekadar bantuan 'one-off'.
"Saya pernah menyertai misi kemanusiaan ke Syria dan Palu, Indonesia sebelum ini. Tetapi saya tidak pernah sampai ke Afrika.
"Jadi, apabila IM ajak turut serta, saya teruja. Saya tidak boleh bagaimana keadaannya di sana. Saya diberitahu, kebanyakan keluarga makan dua kali seminggu sahaja.
"Tidak hanya itu, kemudahan seperti tandas dan sekolah teruk. Jadi, kami mahu lihat apa yang diperlukan penduduk tempatan sebagai bantuan," katanya.
Nadzmi berjanji akan berusaha menggalakkan orang ramai menghulurkan bantuan demi kejayaan Misi Kemanusiaan Afrika.
"Insya-Allah, ia boleh dijadikan saham akhirat kita nanti. Saya percaya bantuan rakyat Malaysia nanti sangat dihargai terutama anak-anak di Tanzania," katanya.
Tambah Nadzmi, dengan bantuan itu, dia berharap masyarakat Islam di Tanzania terus optimis dengan agama Islam.
"Seperti yang diberitahu, orang beragama Kristian banyak membantu penduduk tempatan. Jadi, ramai yang memilih memeluk agama Kristian.
"Kehadiran kami adalah untuk memberi mesej orang Islam juga mengambil berat soal mereka. Majoriti orang miskin di Tanzania beragama Islam. Jadi tugas kami adalah untuk menyebarkan mesej agar penduduk Muslim di Tanzania terus percaya dengan Islam," katanya.
IM menggalakkan orang ramai membuat sumbangan dan melakukan infak dalam Misi Kemanusiaan Afrika.
Sumbangan boleh disalurkan kepada impactivemy.onpay.my/order/form/13 atau impactivemy.onpay.my/order/form/media4afrika.