Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35
Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang
telah dipertandingkan pada tahun ini
KUALA LUMPUR: Kerajaan menimbang cadangan menyokong dan membawa anak seni tempatan meneroka pasaran antarabangsa bagi meneruskan rentak kecemerlangan dalam industri kreatif, selain menyediakan platform baharu mengembangkan potensi mereka.
Menjadikan penyanyi mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna sebagai contoh, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perjalanan karier muzik anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu menjadi bukti bakat anak seni tempatan tidak boleh dinafikan.
Biarpun mengakui perjalanan Yuna atau nama sebenar, Yunalis Zaraai tidak mudah, Fahmi menyifatkan ia signal positif yang mungkin dapat dicapai penyanyi tempatan lain, sekali gus mampu menatijahkan impak positif terhadap pertumbuhan industri muzik tanah air.
Justeru, Fahmi berkata, pihaknya akan berusaha meneliti segala aspek yang mampu menyokong usaha membawa penggiat seni tempatan ke pasaran antarabangsa. Malah, beliau berharap setiap sistem sokongan yang disediakan pihak berwajib dapat dimanfaatkan sebaiknya.
"Apabila kita lihat penyanyi seperti Yuna, dahulu dia hanya penyanyi dan penulis lirik. Tetapi, mungkin satu perkara yang saya kesal adalah apabila dia pergi ke AS dan untuk balik buat persembahan di Malaysia, tidak mudah.
"Bagaimanapun, perjalanan untuk mengukuhkan karier muziknya di sana tidak mudah. Itu adalah pilihan yang sudah dibuat. Yuna adalah penyanyi yang bagus dan saya suka cara dia.
"Saya fikir ini adalah masa yang sesuai untuk membawa anak seni tempatan ke luar negara, kita semua ada peluang itu.
"Untuk mencapainya, kita perlu kembali ke studio dan bekerja. Saya harap dengan apa yang disediakan pihak kementerian ketika ini dapat membantu dan seterusnya menghasilkan karya yang boleh di bawa ke luar negara," katanya ketika menjayakan sesi Town Hall Industri Kreatif Siri 1: Industri Muzik di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) di ibu negara, kelmarin.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menjawab persoalan dibangkitkan pemain dram kumpulan Pop Shuvit, Azlan Rudy Abdul Malik yang meminta penjelasan berhubung perancangan untuk mengenal pasti artis tempatan yang berpotensi dibawa ke peringkat antarabangsa.
Pada sesi itu, Fahmi turut memperincikan status cadangan penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) termasuk isu royalti dibangkitkan Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia), Muhamad Razin Che Mud.
"Kalau lihat pelesenan ini tertakluk di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Tetapi saya teliti dan fahami situasi sebenar yang berlaku dalam industri.
"Saya juga mahu lihat terlebih dahulu berapa banyak stesen radio yang culas dalam menyelesaikan tugas mereka membuat bayaran (royalti)," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kepelbagaian soalan yang diajukan dalam sesi town hall yang berlangsung lebih dua jam itu, Fahmi mengakui industri muzik mempunyai masalah yang perlu diatasi segera.
Sehubungan itu, Fahmi menegaskan, pihaknya akan mengambil penuh tanggungjawab untuk membantu mengatasi setiap kepincangan berlaku.
"Daripada persoalan yang dibangkitkan, kita semua nampak kerencaman masalah dan isu yang berbeza-beza.
"Tetapi, bagi saya, itulah perkara yang menjadi asas dalam industri muzik dan realiti yang berlaku ketika ini.
"Kita tidak boleh nafikan atau membuat perkara ini seolah-olah tidak wujud. Kalau lihat kecelaruan yang berlaku dalam industri muzik yang meletakkan kita semua pada sudut yang berbeza-beza," katanya.
Yang turut hadir pada sesi town hall itu adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek; Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail dan Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim.
Sesi Town Hall Industri Kreatif Siri 1: Industri Muzik mendapat sokongan kira-kira 400 penggiat muzik dan syarikat rakaman tempatan.