Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Tanpa barisan pelakon popular dengan jutaan pengikut laman sosial, karya indie berbekalkan bajet 'cukup makan', Mentega Terbang menanti reaksi peminat filem tempatan.
Masih menunggu kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk tayangan di pawagam di Malaysia, karya sulung pengarah muda, Khairi Anwar, 29, ini agak 'daring' apabila mengangkat isu agama dan kepercayaan yang dikhuatiri boleh menyentuh sensitiviti penonton.
Andai disorot intipati Mentega Terbang yang diterbitkan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment untuk menyertai Kuman Pictures Feature Film Challenge, tahun lalu, karya ini bagai mengimbau kontroversi dicetuskan filem Gubra dan Mualaf arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.
Berkongsi mengenai filem arahannya, Khairi berkata, kejayaan Mentega Terbang menembusi pasaran Indonesia melalui penyertaan dalam Festival Filem Asia Jogja-NETPAC 2021, bulan lalu, menjadi pembakar semangat.
"Saya pernah bertanya beberapa penggiat seni. Mereka berpendapat agar sukar naskhah ini 'melepasi' Lembaga Penapisan Filem (LPF) berikutan topik diketengahkan.
"Sebenarnya, usaha hendak memastikan filem Mentega Terbang melepasi tayangan pawagam dilakukan sejak Mac lalu.
"Sekarang, syarikat produksi sedang mengumpul bahan diperlukan kepada LPF. Pada masa sama, inisiatif tayangan secara tertutup diteruskan," katanya kepada BH Online.
Khairi berkata, penerbit, Tan Meng Kheng juga berusaha membawa Mentega Terbang menyertai festival filem antarabangsa lain.
"Kami bernasib baik apabila pembikin filem di Indonesia menjadi pihak pertama memberi sokongan untuk membenarkan Mentega Terbang menyertai JAFF 2021," katanya.
Khairi berkata, pihaknya perlu memikirkan rancangan lain jika Mentega Terbang tidak diluluskan untuk ditayangkan di pawagam tempatan.
"Mungkin filem ini boleh ditayangkan melalui platform penstriman seperti Viu atau Netflix. Bagaimanapun, penerbit sudah berjumpa pengedar filem yang berminat menayangkan filem ini di Indonesia," katanya.
Khairi memberitahu, kariernya bermula sebagai pengarah teater dan filem pendek. Namun, sejak dahulu, dia menyimpan hasrat menghasilkan karya untuk tontonan rakyat Malaysia.
"Namun, nampaknya, audiens di Indonesia lebih seronok menonton selepas Mentega Terbang ditayangkan di JAFF 2021.
"Kami terima penghargaan apabila filem ini ditayangkan secara virtual selama seminggu. Selain itu, Mentega Terbang ditayangkan di pawagam sebanyak dua kali," katanya.
Khairi bersyukur mendapat reaksi positif daripada penonton Indonesia.
"Saya terima maklum balas sangat positif. Saya sempat menghadiri temubual secara virtual membabitkan wakil media massa Indonesia.
"Ada yang menyatakan rindu terubat apabila melihat Mentega Terbang mirip karya sentuhan Allahyarham Yasmin," katanya.
Mengulas cetusan idea menghasilkan filem Mentega Terbang, Khairi berkata, ilham datang ketika berkurung di rumah pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, tahun lalu.
"Sejak usia 14 tahun saya semat impian jadi pembikin filem. Ibu hadiahkan kamera digital dan saya mula membuat rakaman video.
"Saya belajar dan mendalami ilmu perfileman selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun, minat saya ditentang ibu. Jadi, saya pilih pengajian undang-undang.
"Ketika dalam pengajian, saya berjumpa penggiat teater. Sejak itu, saya mula mendekati penggiat teater seperti Tapai Faisal dan Redza Minhat.
"Saya pernah menjadi pelatih penerbit di bawah Tapai Faisal pada usia 24 tahun. Minat berkarya bercambah, saya tergerak hati mencabar diri menduduki kerusi pengarah," kata anak tunggal ini.
Tidak berselindung, Khairi mengaku peminat arwah Yasmin.
"Saya menonton banyak filem termasuk karya Yasmin. Fikiran saya menerawang jauh memikirkan subjek yang ingin diketengahkan dalam filem termasuk soal agama dan kepercayaan.
"Malah, saya rasa mampu melakukannya apabila melihat beberapa 'trademark' arwah Yasmin," katanya.
Mengenai ketiadaan barisan pelakon popular dalam Mentega Terbang, Khairi berkata, dia dan penerbit yakin dengan jalan cerita filem berkenaan.
"Jadi, saya pilih pelakon berdasarkan latar belakang dunia teater walaupun mereka tiada pengikut ramai dalam media sosial," katanya.
Mentega Terbang dibintangi Syuma Salihin yang membawa watak Aisyah, Nik Waheeda (Mama), Firdaus Karim (Abah), Arjun Thanaraju (Suresh) dan ramai lagi.
Filem ini membicarakan beberapa persoalan termasuk apakah wujud kehidupan selepas kematian. Turut dipaparkan subjek syurga, neraka dan kebenaran hakiki yang menjadi antara persoalan yang berlegar dalam fikiran watak utama Aisyah.
Ibu Aisyah menghidap barah dan hanya menghitung hari manakala abah pula berfikiran liberal yang suka mengkaji persoalan hidup mati.