Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Dihambat kontroversi lagi, Baby Shima tertanya-tanya mengapa inisiatif menjual pakaian 'preloved' miliknya melalui aplikasi TikTok diperkecilkan segelintir pihak.
Baby Shima atau nama sebenar, Nor Ashima Ramli, 29, berkata usaha menjual pakaian terpakai itu adalah bagi mengumpul dana membantu mangsa banjir.
"Ramai yang ambil kerja Tuhan. Apabila saya menari, saya dikecam dan dimaki. Apabila saya mahu menolong mangsa banjir, juga dikecam teruk, dimaki dan dihina.
"Manusia apabila kita tunjuk hendak bantu orang, dituduh riak... Dihina hanya kerana kekurangan diri kita. Apabila kita bantu senyap-senyap, dituduh pula tak turun padang.
"Janganlah nilai apa yang didermakan melalui kesalahan seseorang atau penampilannya. Kita manusia biasa tiada hak hendak menilai orang baik atau tidak.
"Janganlah mencari kesalahan orang lain. Salah kita sendiri pun banyak, cuma kita kadang-kadang tidak sedar," katanya kepada BH Online.
Selasa lalu, Shima mengambil inisiatif menjual pakaian terpakai miliknya di TikTok bagi mengumpul dana membantu mangsa banjir.
Penyanyi lagu Lalai ini berkata, idea mengumpul dana menggunakan platform media sosial itu timbul selepas melihat peminat menjadi mangsa banjir.
Baginya, jualan atas talian adalah cara paling mudah untuk mengumpul dana secepat mungkin.
"Wang daripada hasil baju itu didermakan kepada mangsa banjir terutama peminat di Shah Alam dan Klang.
"Hendak turun ke lokasi bencana masih belum berkesempatan. Jadi, saya guna TikTok untuk menjual koleksi pakaian saya," katanya yang enggan berkongsi hasil jualannya itu.
Shima yang gembira ramai pengikut membeli pakaian dijual, memberitahu, kutipan akan diagihkan kepada mangsa banjir yang juga ahli kelab peminatnya, Baby Shima Supporters.
"Saya dapat tahu ada ahli kelab peminat jadi mangsa banjir di Shah Alam dan Klang. Jadi, kita harap wang ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka melalui saat getir ini," katanya yang mendoakan mangsa banjir kuat menempuh dugaan itu.