BERITA ABPBH

Azlee sudah kahwin, miliki anak

31 Jan 2022 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Selepas setahun mendirikan rumah tangga, akhirnya, aktor Azlee Khairi mengesahkan berkahwin secara rahsia buat kali kedua pada Januari tahun lalu.

Pelakon yang mencetuskan fenomena menerusi drama Love You Mr Arrogant pada 2013 itu memilih kru penerbangan, Nurul Hidayah atau Dhiya.

Sebelum ini, Azlee pernah mendirikan rumah tangga bersama dengan wanita Brunei ketika namanya berada di puncak populariti pada 2014. Dia juga memilih menetap di Brunei Darussalam dan tidak aktif berlakon.

Namun, Azlee kembali ke Malaysia dan aktif berlakon semula pada November 2019. Malah, setahun kemudian, Azlee turut mengesahkan dirinya bukan lagi suami orang.

"Ya, saya sudah berkahwin. Ini juga perkahwinan kedua buat isteri yang memiliki dua cahaya mata. Cuma, saya menghormati pendirian isteri tidak mahu soal peribadi didedahkan.

"Alhamdulillah, hasil perkongsian hidup, kami dikurniakan cahaya mata lelaki yang kini berusia lima bulan.

"Majlis pernikahan juga dibuat atas talian dan hanya membabitkan ahli keluarga dan sanak-saudara masing masing," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, perkongsian gambar sambutan hari lahir ke-33 yang dimuat naik, empat hari lalu menerusi Instagram turut mengundang pelbagai spekulasi.

"Saya rasa inilah waktu terbaik untuk menjelaskan perkara sebenar. Lagipun, saya jenis yang tidak suka menggembar-gemburkan perkara peribadi.

"Cuma, ada juga netizen salah faham dan menganggap saya sudah memiliki dua cahaya mata. Salah seorang, anak tiri saya," katanya.

Azlee mendirikan rumah tangga bersama Nurul Hidayah pada Januari tahun lalu. Foto Azlee Khairi
Azlee mendirikan rumah tangga bersama Nurul Hidayah pada Januari tahun lalu. Foto Azlee Khairi

Azlee atau nama sebenarnya, Azlee Khairi Zulah Hainee berkata, dia dan isteri sepatutnya mengadakan majlis resepsi pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, perancangan tergendala berikutan situasi pandemik COVID-19.

"Namun, majlis yang tertunda akan diadakan pada 18 Mac depan di sebuah lokasi di ibu kota.

"Masa ini, saya akan berkongsi gambar majlis pernikahan kami. Saya kena hormat permintaan isteri dan keluarga," katanya.

Mengulas perkahwinan terdahulu dan kini juga penuh misteri dan rahsia, Azlee percaya, jodoh yang diatur Allah adalah sesuatu yang tidak terduga.

"Paling penting, soal kahwin biarlah hanya keluarga tahu. Selepas itu, apa juga percaturan atau kesudahannya kena ikut rentak sahaja, just go with the flow.

"Seperti lelaki lain yang mendambakan kebahagiaan, saya juga tidak terkecuali. Cuma, ada ketikanya apa yang diharap dan diimpikan tidak berakhir dengan kemanisan.

"Seperti perkahwinan pertama saya yang tidak kekal. Sebelum berjumpa isteri, saya ada kenal dan bercinta dengan wanita lain, namun, putus di tengah jalan.

"Ia proses kehidupan yang saya kena lalui. Apapun, saya harap ikatan perkahwinan kali ini akan dirahmati dan kekal sampai akhir hayat," kata pelakon drama Hari Kita Jatuh Cinta ini.