KUALA LUMPUR: Keprihatinan ayah yang melihat anak gadisnya bekerja keras menyiapkan projek rakaman album, mendorong bapa Sissy Imann, iaitu Muhammad Kamil Mustaffa, menganjurkan majlis pelancaran produk berkenaan, Khamis ini.
Selepas episod getir yang dilalui susulan kontroversi di pentas program realiti terbitan TV3, Famili Duo, Sissy Imann kini bersemangat melancarkan album sulung yang dirakamkan di Studio Abbey Road, London, United Kingdom (UK), tahun lalu.
Bertanya Muhammad Kamil yang membahasakan dirinya 'Ayahanda' mengenai majlis pelancaran album berjudul Sissy Imann itu, beliau berkata, acara itu dianggap hadiah bermakna buat anak gadisnya.
"Sebenarnya, Sissy sudah tidak mahu buat majlis pelancaran album. Tetapi saya terpaksa anjurkan kerana ia hadiah kami sekeluarga kepada dia.
"Apa yang kami lakukan adalah untuk menghargai setiap usaha dan kejayaan Sissy dalam bidang muzik.
"Saya akan sentiasa hargai apa sahaja pencapaian anak," katanya kepada BH Online.
Majlis pelancaran album sulung Sissy akan dianjurkan di Teratak Ayahanda, Kajang, pada jam 3 petang, Khamis ini.
Muhammad Kamil berkata, pencapaian dan hasil titik peluh Sissy wajar diberi penghargaan selayaknya.
Malah, katanya, Sissy tidak sabar menanti hari bersejarah itu.
"Sissy adalah penyanyi wanita tempatan pertama yang merakamkan lagu di Studio Abbey Road dan itu bukan calang-calang studio.
"Segala persiapan untuk menjayakan rakaman album di studio tersohor itu adalah hasil usahanya sendiri. Jadi, Sissy layak diraikan dan dihargai," katanya.
"Sissy tampak gembira untuk melancarkan album pertamanya itu. Semangatnya pun sudah mula kembali," katanya.
Sebelum ini, keterujaan Sissy terhadap kemunculan album sulungnya dilaporkan berakhir berikutan terlalu kecewa dengan kegagalan menyajikan persembahan terbaik pada konsert minggu keenam Famili Duo.
Persembahan yang dijayakan bersama sepupu, Naim Daniel bukan sahaja gagal menambat hati juri, malah, menerima kritikan 'pedas' juri, Mas Idayu hingga Sissy mengalirkan air mata, lalu tular.
Ahad ini, Sissy dan Naim yang terpilih menjadi finalis program realiti itu, kembali beraksi bagi merebut gelaran juara.