BERITA ABPBH

Awie mahu terus menua bersama Ladyana

23 Nov 2026 | Ridzuan Abdul Rahman

KUALA LUMPUR: Genap 10 tahun mengharungi kehidupan berumah tangga bersama isteri tercinta, Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, vokalis rock legenda, Datuk Awie, tidak meminta lebih daripada kebahagiaan berpanjangan bersama keluarga.

Baginya, tiada lagi perancangan besar yang perlu dikejar selain terus bekerja, membesarkan anak-anak dan menikmati kehidupan bersama insan tersayang selepas bertahun-tahun menumpukan perhatian kepada keluarga.

"Harapannya… kita nak bahagia sahaja. Saya nak kerja, besarkan dua pendekar itu (Putra Ahmad Andeeka dan Putra Ahmad Arjunna), habiskan persekolahan Qasseh (Putri Qasseh Antasha) dan Rezzki (Putra Ahmad Rezzki).

"Alhamdulillah… itu saja," katanya.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 58, berkata demikian ketika ditemui pada majlis meraikan ulang tahun perkahwinannya yang ke-10 bersama Ladyana.

Pada masa sama, penyanyi itu mengakui mereka tidak lagi merancang untuk menambah cahaya mata memandangkan sudah dikurniakan tujuh anak.

"Tujuh (anak) dah cukup. Bagi peluang untuk saya berehat, bercinta balik dengan bini. Tujuh tahun jaga bayi (anak). Sengsara… bukan sengsara apa, kena tidur dengan bini.

"Tujuh tahun, dia nak kena jaga anak. Yang ini empat tahun, yang ini keluar. Banyak pengorbanan yang kita lakukan.

"Insya-Allah, yang mendatang ini saya nak enjoy dengan keluarga," katanya.

Mengulas majlis ulang tahun perkahwinan itu, Awie berkata, persiapan untuk meraikan detik istimewa berkenaan mengambil masa kira-kira dua bulan.

"10 tahun kahwin. Saya terfikir 10 tahun bersama, kalau saya tak buat majlis, saya kena cerai (sambil bergurau).

"Saya buat ini kerana mengenangkan pengorbanan isteri saya selama 10 tahun, terutama dalam menjaga anak-anak," katanya yang berharap ikatan rumah tangga mereka kekal hingga ke akhir hayat.

Majlis yang berlangsung di Elissa Garden, Terminal Bersepadu Gombak (TBG), di sini, malam tadi, turut menghimpunkan semua anak Awie termasuk daripada perkahwinan terdahulu bersama Arni Nazira dan Rozana Misbun.

Tujuh anaknya, Putri Aleeya Antasha, 26, Putri Aleefa Antasha, 24, Putra Ahmad Merrah, 19, Putra Ahmad Rezzki, 18, Putri Qasseh Antasha, 16, Putra Ahmad Andeeka, enam, dan Putra Ahmad Arjunna, dua, turut berkongsi pentas menyampaikan ucapan serta penghargaan penuh emosi buat Awie dan Ladyana.

Lebih istimewa, majlis itu turut meraikan ulang tahun kelahiran Ladyana yang ke-39 pada 22 November. Awie mencuri perhatian apabila membuat kejutan dengan menghadiahkan barangan kemas kepada isterinya.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan sambutan ulang tahun ke-11 Wings Motor Gang Society (WMGS), komuniti yang diasaskan berteraskan semangat persaudaraan, minat terhadap dunia permotoran dan kecintaan terhadap muzik Wings.