Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Belum pun mencipta populariti, pelakon yang diperkenalkan menerusi filem Mael Totey The Movie, Aween Ismail sudah menerima ujian besar hingga membuatkan langkahnya goyah.
Kongsi Aween, 24, dia pernah menjadi mangsa kepada individu yang tidak mempunyai berhati perut ketika menyertai program pencarian bakat, Dewi Remaja 2018/2019.
Aween atau nama sebenarnya, Nik Nor Farzuwin Nik Ismail berkongsi bagaimana terpaksa menahan kesakitan pada bahagian perut hingga terpaksa dimasukkan ke empat hospital.
"Saya pernah merasakan sendiri pengalaman kena santau. Pengalaman berlaku pada 2018 ketika saya menyertai pertandingan Dewi Remaja. Kalau ada yang ingat, saya terpaksa menarik diri pada dua episod terakhir disebabkan masalah kesihatan.
"Sebenarnya, saya kena santau. Mulanya, saya menyangka mengalami penyakit apendiks, tetapi sebenarnya tidak. Saya hanya mendapat tahu kena santau selepas keluar daripada empat hospital.
"Selepas doktor mengesahkan tidak mengalami penyakit apendiks, malah, rahim dan usus juga dalam keadaan baik. Tetapi, saya tetap memutuskan membuat pembedahan bagi mengetahui lebih lanjut sekiranya ada penyakit lain disebabkan menanggung kesakitan teruk hingga muntah darah," katanya kepada BH Online.
Susulan kesakitan yang dilalui sejak episod kedua pertandingan berkenaan, anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu memutuskan untuk menarik diri.
"Saya terpaksa menarik diri pada dua episod terakhir. Jujurnya, saya rasa nak mengamuk sebab penat lelah untuk menyertai pertandingan Dewi Remaja bukan perjalanan yang muda kerana ia memakan masa dan tenaga.
"Pihak produksi pula menghubungi saya seminggu sebelum pentas akhir dan memberitahu saya memperoleh markah tertinggi. Jadi, memang rasa terkilan sangat.
"Lebih kecewa selepas melakukan pembedahan, saya dikatakan tiada penyakit," katanya.
Mengulas adakah mengetahui angkara siapa di sebalik penganiayaan itu, Aween berkata, dia tahu, namun, memilih tidak memanjangkan perkara itu.
"Saya tahu siapa orangnya. Namun, biarlah kerana sekiranya tak dapat balasan di dunia, Allah balas di akhirat.
"Kalau marah pun, ia tidak akan memuaskan hati saya. Saya sudah memaafkan semua orang yang membuat penganiayaan kerana hidup di dunia tidak kekal lama," katanya.
Aween berkata, pengalaman itu tidak memberikan pengertian kosong, sebaliknya pengajaran mendewasakannya.
"Tipulah sekiranya tidak sedih dengan apa yang berlaku memandangkan baru mahu melangkah ke industri seni, namun, saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
"Allah mungkin tak mahu memberi saya kemenangan, takut saya jadi lupa daratan. Alhamdulillah, saya masuk industri seni dari bawah dan masih lagi mendaki.
"Jadi, apa yang saya belajar daripada perkara yang dilalui, kita kena kuatkan diri dan tidak boleh percaya orang sekeliling. Sebab daripada penampilan seseorang, kita tidak boleh mengadili bahawa berniat baik atau sebaliknya.
"Nak pilih kawan kena berhati-hati dan kena sentiasa beringat. Sampai sekarang, saya selalu mendekatkan diri dengan Allah untuk melindungi diri," katanya yang ditemui pada sidang media drama Remang.
Aween berkata, dia seronok dapat menjayakan drama bergenre seram pertama.
"Saya sudah melalui banyak peristiwa mistik, daripada kecil sampailah sekarang. Jadi, saya mahu meluahkannya apa yang dilalui menerusi drama Remang. Saya memang buat terbaik dalam drama ini," katanya.
Selain itu, Aween turut membintangi drama I Love You Sayang arahan Eyra Rahman sebanyak 40 episod untuk siaran TV3.