Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Asal perkampungan ganas, Mark Adam tak suka gaduh walau ditipu ratusan ribu

10 May 2023 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Biarpun ditipu hampir ratusan ribu ringgit oleh kontraktor bagi menyiapkan kediaman buat ibu bapa mentua, namun nilai itu masih belum cukup untuk membayar budi baik mereka terhadap penyanyi dan pelakon, Mark Adam.

Mark, 43, berkata dia tidak mempunyai pekerjaan selepas dua tahun berkahwin dengan isterinya, Norazah Redzuan pada 2003.

Namun, katanya ibu bapa mentua tidak pernah memandang serong terhadapnya, sebaliknya tetap melayaninya dengan baik.

"Dua minggu sebelum berkahwin, saya tiada tempat tinggal. Jadi, bapa mentua ajak saya menumpang di rumahnya.

"Walaupun bangun lewat, sekali pun bapa mentua tidak pernah marah. Sebaliknya, suruh saya pergi makan setiap kali bangun tidur.

"Selepas berkahwin, dua tahun saya tidak bekerja kerana agensi saya bekerja ditutup, namun keluarga mentua tidak pernah sekali menghakimi saya.

"Sebab itu saya mahu membalas jasa mereka dengan membina kediaman selesa. Walaupun ditipu kontraktor bagi saya nilai itu tidak setanding dengan kebaikan diberikan kepada saya selama ini," katanya yang ditemui di majlis rumah terbuka Indigital Music & FYP Media.

Mark bersyukur ada pihak sudi membantu menyiapkan kediaman ibu bapa mentua tanpa mengambil kesempatan seperti sebelum ini.
Mark bersyukur ada pihak sudi membantu menyiapkan kediaman ibu bapa mentua tanpa mengambil kesempatan seperti sebelum ini.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Si Katak itu berkata, dia bersyukur ada pihak sudi membantu menyiapkan kediaman ibu bapa mentuanya tanpa mengambil kesempatan.

Sebaliknya, kata Mark, mereka hanya meminta upah, sementara barangan pembinaan dibelinya sendiri.

"Sepatutnya rumah ini siap dalam tempoh setahun. Walaupun ada kontrak, tetapi kami tetap ditipu.

"Jadi, bagi tidak menghampakan harapan ibu bapa mentua, saya dan isteri akan cuba menyiapkan rumah itu secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Mark berkata, dia enggan membesar-besarkan kes berkenaan kerana lebih suka menyelesaikan masalah secara tenang.

Bagaimanapun katanya, sepatutnya ada undang-undang ketat dikenakan agar ramai lagi tidak tertindas dan ditipu kerana ramai yang sudah menjadi mangsa sepertinya.

"Bukan saya saja tetapi ramai yang sudah jadi mangsa penipuan.

"Saya tidak suka kecoh-kecoh dalam usia begini. Saya berasal dari perkampungan yang mana penduduknya ganas, kejadian bunuh membunuh adalah perkara biasa, malah saya sendiri hampir tiga kali mahu dibunuh.

"Jadi, saya tidak mahu melihat perkara seperti ini dan biarlah individu yang menipu menjawabnya di akhirat," katanya.