Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Sejak pemergiannya, penggiat seni masih berkongsi cerita di sebalik insan kreatif, Allahyarham Mamat Khalid yang ketika hayatnya banyak membantu anak didik meningkatkan potensi diri dalam dunia seni.
Tidak ketinggalan, pelawak, Ropie atau nama penuhnya, Zahid Tajuddin yang tidak melupakan bagaimana Allahyarham Mamat menjadi 'penyelamat' ketika dirinya terumbang-ambing mencari arah.
Tawaran melakonkan watak Nayan dalam filem pecah panggung, Hantu Kak Limah yang ditayangkan pada 2018, mengubah hidup Ropie.
Tidak hairanlah, anak jati Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak ini tersentak apabila Mamat pergi buat selama-lamanya.
"Saya mungkin tidak akan beroleh rezeki dikecapi hingga sekarang atas asbab perkenalan dengan arwah.
"Penciptaan karakter Nayan dalam Hantu Kak Limah cetusan idea arwah melonjakkan nama saya yang tenggelam-timbul sebelum ini.
"Allah menyusun cantik pertemuan dan perkenalan saya dengan arwah. Dek laluan yang dibuka arwah, pintu rezeki yang luas terbentang buat saya," katanya kepada BH Online.
Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid, 58, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas terkena serangan jantung ketika melayan pelanggan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim pada 24 Oktober lalu.
Jenazah Allahyarham Mamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh, Ipoh.
Arwah Mamat mendirikan rumah tangga dengan dengan Hasmah Hassan pada 12 April 1987 dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Amen dan Nur Hassanan.
Ropie menyifatkan Allahyarham Mamat insan disenangi yang cukup dikagumi.
"Arwah umpama abang yang sangat baik dan 'sempoi' (selamba). Biarpun tidak bekerja bersama atau tiada komitmen, saya terus berhubung.
"Jika diikutkan, kami sudah lama tidak bertemu. Dua bulan lalu, saya dan isteri ada hubungi arwah untuk bertanya khabar," katanya yang berada di Kedah kerana terikat dengan penggambaran supertele Mat Kola arahan Hafiz Nafiah.
Ropie berkata, setiap kali bertemu arwah, ada sahaja 'modal' jenaka yang dikongsinya.
"Tiada siapa mampu menebak suratan hidup seseorang. Saya dikejutkan berita pemergiannya. Saya dan isteri amat berdukacita.
"Saya tidak dapat bayangkan aturan hidup jika tidak bertemu arwah. Mungkin laluan saya tidak semanis sekarang. Saya amat terhutang budi dengannya," katanya.
Ropie berkata, watak Nayan dalam filem Hantu Kak Limah mengubah hidupnya 180 darjah.
"Kerana watak itu, ramai kanak-kanak menegur dan mengajak merakam foto bersama apabila bertemu. Pergi ke pasar pun tidak boleh menyamar.
"Pakai topi pun orang kenal dan ajak bergambar. Seronok orang panggil saya dengan nama Nayan," katanya.
Tambah Ropie, populariti watak Nayan membolehkan dia ditawarkan berlakon dalam filem Tamil tempatan.
"Saya seorang sahaja pelakon Melayu dalam projek itu. Apa yang menarik, saya melakonkan lima watak dalam filem Tamil bergenre komedi seram itu.
"Antara watak dihidupkan adalah mendiang bintang legenda Bollywood, M Ramachandran," katanya.
Selain watak Nayan, Ropie juga terkenal dengan karakter Pak Kodi yang dilakonkan dalam sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) sejak musim pertama.