Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

'Artis wajar bantu mangsa banjir'

27 Dec 2021 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Rata-rata mengalami kerosakan total harta benda akibat bencana banjir, kunjungan rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ke rumah penggiat seni dan kru produksi di Hulu Langat, kelmarin, memberi keceriaan kepada mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim yang mengepalai rombongan itu melihat sendiri kemusnahan berlaku selain berkongsi kisah getir mangsa berdepan detik cemas termasuk ahli keluarga yang jatuh sakit sebelum berlakunya musibah.

"Pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing menggambarkan misi bantuan FINAS secara keseluruhan.

"Apalah inisiatif ini jika mahu dibandingkan dengan ujian besar dihadapi mangsa banjir. FINAS tidak mahu ambil mudah dan lepas tangan.

"Sebagai manusia, kita perlu ada empati dan semua ini berbalik kepada lumrah hidup. Hari ini mereka diuji, masa mendatang kita tidak mampu menebak nasib sendiri.

Md Nasir (kiri) dan Betty (dua dari kanan) ketika menyerahkan sumbangan kepada Shahryzan di kediamannya yang dinaiki air. Foto Ihsan FINAS
Md Nasir (kiri) dan Betty (dua dari kanan) ketika menyerahkan sumbangan kepada Shahryzan di kediamannya yang dinaiki air. Foto Ihsan FINAS

"FINAS tidak bergerak sendirian, malah berbangga teman artis seperti Betty Banafe, Bagio Damasutra, Anzalna dan Tunku Hanis meluangkan masa menyertai misi ini," katanya kepada BH Online selepas menyempurnakan program kedua di bawah Misi Bantuan Banjir FINAS di Hulu Langat, kelmarin.

Dalam program itu, rombongan melawat kediaman penyanyi rock, Yantzen; kru produksi, Shahryzan Md Sharif; Ramli Hassan; Shah Rizal Ismail; Sazwansyah Mohd Ainal dan bekas pemain bes kumpulan Damasutra, Amran Sidek.

Bagaimanapun, Yantzen tidak berada di rumah ketika rombongan bertandang.

Program itu turut disertai wakil Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA). Penerbit seperti Baldev Singh dan Adnan Salleh juga turut menyantuni mangsa banjir.

Misi Bantuan Banjir FINAS dilancarkan Jumaat lalu apabila isteri Md Nasir, Azlina Yahaya bersama ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) membantu kakitangan FINAS yang terkesan dengan banjir.

Md Nasir berkata, bagi program kedua, FINAS menyediakan bajet tambahan RM10,000 untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

"Bajet akan ditambah dari masa ke semasa. Sebelum ini, FINAS sudah memperuntukkan RM20,000 sebagai bantuan kilat yang disalurkan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk mangsa banjir," katanya.

Md Nasir berkata, misi FINAS itu mendapat kerjasama Bank Islam, Mitsubishi Motors Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gurdwara Sahib Petaling Jaya (GSPJ), Persatuan Belia Kreatif dan Yayasan Raghat Sarawak yang memberi sumbangan tenaga, barangan dan wang tunai.

Ketika tiba di rumah Yantzen, Md Nasir berkata, rombongan disambut anak dan sahabat penyanyi itu.

"Rumah Yantzen rosak teruk dengan kira-kira 90 peratus barangan dan kelengkapan rumah ditenggelami air mencecah enam kaki," katanya.

Md Nasir berkata, tinjauan di kediaman Shahryzan pula menemui kesan air yang naik setinggi lapan kaki.

"Sehari sebelum ditimpa musibah, bapa Shahryzan diserang angin ahmar," katanya.

Md Nasir berharap lebih ramai artis dapat memberi bantuan kepada mangsa banjir.

"Dengan cara itu, kita dapat mengurangkan beban penggiat seni dan memberi sokongan moral kepada mereka.

"Ketika berbual dengan enam penggiat seni yang menjadi mangsa banjir, mereka cukup terharu dengan keprihatinan FINAS, rakan kongsi strategik dan teman artis yang turun ke padang membantu mereka.

"Ini benar-benar memberikan semangat kepada mangsa banjir," katanya.