BERITA ABPBH

Areef Amran mahu watak lebih matang, sesuai usia

09 Mar 2026 | A’qilah Riduan

Pelakon, Areef Amran mengakui kini lebih cenderung menggalas watak yang bersesuaian dengan usianya.

Areef, 28, berkata, dia tidak lagi melihat watak pelajar sekolah sebagai pilihan utama sekiranya menerima tawaran lakonan selepas ini.

"Saya rasa kalau selepas ini dapat tawaran watak pelajar sekolah, mungkin sudah tidak sesuai kerana saya pun sudah meningkat usia.

"Saya rasa sudah sampai had umur untuk membawa watak itu.

Namun, jika diberi peluang berlakon dalam cerita berkaitan sekolah, saya masih berminat asalkan watak itu bersesuaian dengan usia saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media iklan raya 'Bila' dan majlis berbuka puasa LOL Entertainment di sini, baru-baru ini.

Bintang drama Kelas Belakang itu berkata, sekiranya diberi peluang membawa watak dalam cerita berlatarbelakangkan sekolah, dia terbuka mencuba karakter yang mempunyai kelainan.

"Saya memang minat cerita sekolah kerana sangat menyeronokkan. Kita boleh bercerita mengenai cinta, buli, isu perkauman dan pelbagai masalah masyarakat.

"Kalau ada rezeki berlakon dalam cerita berkaitan sekolah, saya berminat membawa watak cikgu Pendidikan Jasmani (PJ) atau cikgu kelas belakang.

"Pelajar kelas belakang biasanya mempunyai pelbagai ragam seperti nakal dan 'rebel'. Jadi, saya mahu membawa watak cikgu yang mempunyai keunikan sehingga membuatkan pelajar tertarik dengan personaliti guru itu," katanya.

Ditanya mengenai minatnya terhadap cerita berlatarbelakangkan sekolah, Areef berkata elemen itu dekat dengan pengalaman hidup kebanyakan penonton.

"Kita semua pernah melalui fasa sekolah, bermula dari sekolah rendah hingga ke kolej. Dalam tempoh itu, pasti ada pelbagai kenangan dan masalah yang dilalui.

"Sebab itu jika ada peluang berlakon dalam cerita berlatarbelakangkan sekolah, saya pasti akan menerimanya," katanya.

Dalam pada itu, Areef turut berharap diberi peluang untuk terus berkarya dalam industri seni, bukan sahaja sebagai pelakon di hadapan kamera, malah di belakang tabir.

Menurutnya, dia terbuka untuk mencuba peranan lain seperti penulis skrip atau menyertai pasukan penulisan sekiranya diberi peluang.

"Saya harap pada masa depan masih dapat bekerja dalam industri ini, tidak semestinya di hadapan kamera.

"Jika produksi memberi peluang di belakang tabir seperti menjadi penulis skrip atau pembantu penulis skrip, saya juga berminat," katanya.

Areef berkata, dia gemar menulis kerana setiap individu mempunyai cerita yang boleh dikongsi dengan masyarakat.

"Saya memang suka berangan dan berkarya. Setiap orang ada cerita masing-masing dan sebab itu saya suka menulis kerana ada perkara yang ingin saya sampaikan kepada orang lain.

"Seronok sebenarnya apabila kita dapat berkongsi apa yang kita rasa melalui penulisan," katanya.