Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Bersaing dengan tiga nama besar industri muzik dan dua teman seangkatan, bakat baharu, Aqmal Ramdan, 26, tidak gentar dalam mengatur strategi pada program realiti terbitan TV3, Terpaling Juara.
Dibimbing 'kapten' Naim Daniel, Aqmal yang berpengalaman sebagai pemuzik jalanan, berazam memanfaatkan peluang yang ada untuk bersaing hingga ke pentas akhir program realiti itu.
Mengakui melalui pengalaman perit dikecam sejak mula terbabit dengan dunia muzik, Aqmal pernah disogok kata-kata negatif konon dirinya tidak mampu pergi jauh dalam industri seni.
"Program Terpaling Juara sangat berbeza berbanding pertandingan yang saya pernah sertai dahulu.
"Ini adalah pengalaman pertama saya terbabit dalam program realiti nyanyian. Ini tanggungjawab besar bagi saya berada dalam program ini.
"Insya-Allah, saya akan cuba buat sehabis baik untuk program ini dan bagi 'all out' dalam setiap persembahan," katanya yang mula mengumpan peminat sejak Terpaling Juara disiarkan pada 21 Ogos lalu.
Aqmal bersyukur dirinya mula dikenali dan bertekad terus menonjolkan diri dalam setiap cabaran diberi.
"Saya akan terus mencuba supaya penonton kenal dan tahu kebolehan saya sepanjang program ini," katanya yang mendapat sokongan padu ibu dan abangnya untuk bersaing di pentas Terpaling Juara.
Aqmal mula menunjukkan bakat dalam dunia nyanyian sejak berusia empat tahun apabila mendengar lagu Demi Masa nyanyian Raihan di kaca televisyen (TV).
Anak muda ini juga pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sejak berusia tujuh tahun.
Akur dengan komen dan kritikan juri tetap iaitu Datuk Hattan dan Fauziah Latiff, Aqmal tidak kecewa dengan persembahan lalu.
Aqmal amat menghargai setiap peluang yang diberi untuk beraksi di pentas berskala besar ini.
Apatah lagi, mendapat peluang bekerjasama dengan idolanya, Naim yang dianggap suatu bonus.
"Kolaborasi dengan Naim dianggap suatu kerja yang sangat mudah.
"Naim senang untuk berbincang dan terima idea. Jika idea kurang sesuai, Naim tolak dengan cara baik.
"Beliau kemudian beri pandangan lebih bagus. Saya bersyukur dapat Naim sebagai kapten.
"Insya Allah, kita akan menggegarkan Terpaling Juara sampai ke pentas akhir, doakan kami," katanya.
Aqmal adalah peserta yang bernaung di bawah bimbingan Naim, selain bintang senior, Ifa Raziah.
Kolaborasi pertama Aqmal dan Naim dalam lagu Raikan Cinta dendangan asal Datuk M Nasir menyerlahkan sisi berbeza jejaka ini yang perlu menyanyi dan menari dalam lagu genre Irama Malaysia.
Aqmal menganggap semua lagu didendangkan pada program realiti itu mencabar vokal dann kemampuan diri.
"Lagu dipersembahkan sangat 'legend' dalam kalangan peminat.
"Saya berbesar hati berpeluang menyanyikan lagu ini. Dengan bimbingan Naim, kami bergabung idea untuk mempersembahkan karya dalam versi saya," katanya.
Terpaling Juara mempertaruhkan tiga kapten iaitu Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim yang semua pernah memiliki trofi Anugerah Juara Lagu (AJL).
Mereka masing-masing membimbing penyanyi senior dan bakat baharu yang bersaing dalam program ini.
Selain Ifa, artis 'senior' yang beradu keupayaan dalam program ini adalah Rahmad Mega dan Hazami.
Menyahut cabaran bersama Aqmal adalah dua bakat baharu iaitu Shaz atau nama sebenar, Shazreen Shaharum, 26, dan Aqeesh Aleeya, 18, yang dipilih menerusi uji bakat, awal bulan lalu.
Terpaling Juara mempertaruhkan playlist Anugerah Juara Lagu (AJL) iaitu lagu popular yang pernah tercalon pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) dan AJL.
Disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam, setiap Ahad mulai jam 9 malam. Nikmati strim langsung secara HD di www.tonton.com.my.
Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.