Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Usaha memuat naik video mengajak peminat menyokong pencalonannya menerusi kategori YouTuber Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 akhirnya membuahkan hasil apabila Aqil Zulkiflee, 25, berjaya memenangi kategori yang kali pertama diperkenalkan itu.
Aqil atau nama sebenarnya Ahmad Aqil Zulkiflee berkata, dia tidak menyangka berjaya mengenepikan pesaing lain yang tidak kurang hebat seperti Alieff Irfan, Azfar Heri, Che Nom dan CikiDot Channel.
"Paling saya diduga, saya berjaya menewaskan Alieff yang mempunyai lebih tiga juta 'subscribers' berbanding saya yang hanya memiliki sejuta 'subscribers'
"Nak dikirakan agak jauh jumlah 'subscribers' antara kami, tetapi saya percaya ini juga usaha pengikut yang sentiasa menyokong saya dari dahulu menjadi kemenangan dalam genggaman saya.
"Saya memang tidak putus memuat naik video meminta orang ramai mengundi saya. Itu juga menjadi faktor kejayaan saya apabila ramai menyokong.
"Saya berterima kasih kepada BH, keluarga dan orang ramai yang tidak berhenti-henti mengundi sejak pencalonan awal hingga berjaya beroleh kemenangan," katanya kepada BH Online.
Aqil mendaftar akaun YouTube pada September 2015, tetapi hanya giat melakukan video sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada tahun lalu.
Sejak itu, videonya mendapat sambutan sehingga berjaya meraih lebih sejuta pelanggan dalam masa yang singkat. Dari situ, Aqil menerima lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus menambahkan pendapatannya.
Kata Aqil, dia tidak pernah gagal memuat naik video dalam saluran YouTube miliknya bagi menghargai permintaan pengikut, setiap hari.
"Saya akan memuat naik video atas permintaan pengikut. Sebenarnya, saya mempunyai tiga saluran YouTube iaitu Aqil Zulkiflee, Aqil Zulkiflee Gaming dan Aqil Zulkiflee Shorts.
"Kebanyakan kandungan saya bersama keluarga, orang ramai dan bersama 'subscribers'. Disebabkan itu, video saya banyak ditonton oleh kanak-kanak.
"Jadi, merekalah yang banyak menyumbang kepada undian saya di ABPBH34," katanya.
Ekoran itu, Aqil berterima kasih kepada BH kerana memperkenalkan kategori berkenaan bagi menghargai YouTuber tempatan.
Antara lain, pencapaian sepanjang Aqil aktif dalam dunia digital ialah berjaya mendapatkan penghargaan Silver Play Button dan Gold Play Button dari YouTube.
Aqil berkata, dia menerima tawaran lakonan, bagaimanapun terpaksa menolak disebabkan jadualnya padat.
"Saya terima tawaran lakonan, tetapi saya menolaknya dengan baik. Ini kerana saya sibuk, apatah lagi, mengusahakan restoran di Melaka dan Johor," katanya yang bekerja tetap sebagai 'social media influencer'.
Terdahulu, disebabkan bosan terkurung di rumah ketika fasa PKP, Aqil membuat pelbagai kandungan bagi mengisi masa lapang. Aqil tidak menyangka hobi suka-suka bertukar menjadi minat, seterusnya meraih perhatian penonton.