KUALA LUMPUR: Seharian di lokasi penggambaran bukanlah sesuatu yang luar biasa buat pelakon kacukan, Anna Jobling.
Namun, berbeza kali ini, Anna menghabiskan hampir 21 jam di gelanggang pickleball demi menjayakan penggambaran telefilem Dink! I Love You. Semuanya dilakukan aktres jelita ini tanpa merungut.
Anna yang meraih trofi Pelakon Wanita TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPH) Ke-37 menganggap tempoh kerja yang panjang bukanlah menjadi isu, selagi usaha dicurahkan berbaloi.
"Waktu kerja yang panjang adalah perkara biasa buat kami sebagai pelakon. Kalau dapat pulang awal, itu sudah dikira bonus.
"Saya tak kisah demi kerjaya seni. Kalau saya fikir apa yang dilakukan itu berbaloi, ia bukanlah suatu masalah. Kami memang sudah biasa bekerja dalam tempoh yang panjang.

"Cuma saya agak terkejut kerana babak di gelanggang pickleball sahaja mengambil masa hampir 21 jam untuk disiapkan," katanya ketika ditemui pada sidang media telefilem Dink! I Love You di sini, baru-baru ini.
Membawa watak Diba, pelakon berusia 26 tahun ini memberitahu, dia menerima tawaran membintangi telefilem yang disiarkan menerusi platform penstriman UTV itu bagi mencabar dirinya membawa karakter berbeza.
Walaupun bukan penggemar pickleball, Anna sanggup meluangkan masa mempelajari asas permainan dan menjalani latihan intensif sebelum penggambaran bermula.
"Saya lebih suka sukan individu dan kurang menggemari sukan berpasukan. Saya pernah cuba bermain pickleball sekali dua, sekadar suka-suka.
"Tetapi demi menjayakan watak Diba, saya sahut cabaran ini," katanya.
Mengulas pengalaman mengharungi lebih 21 jam di lokasi penggambaran, Anna mengakui ada ketika dia hampir berputus asa kerana terlalu penat.
"Saya tak sampai menangis sebab kepenatan, tetapi memang ada rasa macam hendak mengalah. Bukan sebab tidak mahu berlakon lagi, tetapi kerana terlalu letih.
"Babak bermain pickleball itu perlu diulang berkali-kali supaya kami benar-benar kelihatan seperti pemain profesional di skrin.
"Bukan tidak suka, tetapi apabila penggambaran terlalu lama dan perlu melakukan perkara sama berulang kali, memang akan timbul rasa penat dan bosan," katanya.
Bagaimanapun, Anna berkata, dia sentiasa berusaha mengekalkan pemikiran positif sepanjang berada di lokasi penggambaran supaya tidak mudah menyerah kalah.
Akuinya, suasana kerja yang positif turut memainkan peranan penting dalam membantu pelakon memberikan persembahan terbaik.
"Sebagai pelakon, kami memang perlu sentiasa berfikiran positif kerana bekerja di lokasi penggambaran sangat memenatkan.
"Tetapi apabila dikelilingi pelakon, kru produksi, pengarah dan suasana kerja yang positif serta menyeronokkan, semangat itu akan sentiasa ada.
"Jadi, walau penat macam mana sekalipun, kami tetap seronok untuk meneruskan kerja," katanya.
Dink! I Love You mengisahkan Diba, seorang pemain pickleball berbakat yang meninggalkan pasangan regunya, Arman, sebelum memilih Ghazali sebagai gandingan baharu hingga tercetus bibit-bibit cinta di gelanggang.
Naskhah yang sarat dengan mesej mengenai disiplin dan kepercayaan itu mula ditayangkan sejak 18 Jun lalu dan boleh distrim secara eksklusif menerusi aplikasi UTV.