Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Aniq tak bersaing dengan rakan seperjuangan

23 Sep 2022 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Sejak mula menjayakan drama slot Akasia, Sekali Lagi Cinta Kembali, bintang utama, Aniq Suhair tidak pernah terfikir mahu menandingi kejayaan drama lakonan teman seperjuangan, Meerqeen iaitu Melur Untuk Firdaus.

Aniq atau nama sebenar, Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh tidak pernah meletakkan Meerqeen yang sama-sama bersaing dalam Hero Remaja 2019/2020 sebagai pencabar utama, sebaliknya, Aniq berserah kepada rezeki.

"Saya dan pelakon gandingan dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali, Siti Khadijah Halim tidak letak harapan tinggi.

"Kami hanya 'go with the flow' (akur dengan aturan).

"Kalau kami berharap drama ini akan melonjak popular dan menandingi Melur Untuk Firdaus, kami akan sedih.

"Jadi, kami bersikap 'neutral', kalau 'meletup', Alhamdulillah. Kalau tidak dapat tandingi drama Melur Untuk Firdaus pun, tidak mengapa," katanya.

Aniq tidak mahu membandingkan drama lakonannya dengan naskhah lain.

"Drama lain popular sampai ke Indonesia... Saya anggap itu rezeki dan tuah mereka.

"Jadi, secara jujurnya, saya reda sahaja," katanya.

Bagaimanapun, Aniq gembira melihat reaksi positif sejak drama Sekali Lagi Cinta Kembali terbitan A Aida Production Sdn Bhd yang diarah Riza Baharudin, ditayangkan mulai 13 September lalu.

"Alhamdulillah, kami lihat maklum balas baik menerusi tayangan pada minggu pertama.

"Malah, pada minggu pertama tayangan, kami tak sangka dapat sambutan hangat dalam media sosial.

"Ini adalah suatu perkara yang bagus untuk kami... Alhamdulillah," katanya pada sidang media drama Sekali Lagi Cinta Kembali secara virtual, Selasa lalu.

Lakonan Aniq dan Siti Khadijah mendapat reaksi positif sejak drama Sekali Lagi Cinta Kembali ditayangkan sejak 13 September lalu. - Foto Ihsan TV3
Lakonan Aniq dan Siti Khadijah mendapat reaksi positif sejak drama Sekali Lagi Cinta Kembali ditayangkan sejak 13 September lalu. - Foto Ihsan TV3

Drama Sekali Lagi Cinta kembali berkisar kehidupan gadis dikenali sebagai Aira lakonan Siti Khadijah yang lantang bersuara tanpa memikirkan kesannya.

Kisah bermula selepas Aira melakukan kesilapan mengambil alih tugas kaunselor di sebuah pusat kaunseling.

Aira secara tidak sengaja mengeruhkan keadaan dan mengakibatkan Alisa (lakonan Izzendra) dan Zafran (Zaki Azeman) bercerai atas nasihatnya.

Disebabkan terlalu marah, Zafran mendesak Aira memberi ganti rugi secara bekerja di rumahnya sebagai penjaga Nek Som yang pelupa dan mengidap penyakit jantung.

Ini menemukan Aira dengan adik Zafran iaitu Hayyat lakonan Aniq yang akhirnya terpikat dengan kemuliaan hatinya.

Aniq teruja diberi kepercayaan menjayakan watak utama dalam drama slot popular TV3, Akasia, biarpun dirinya bukan pilihan pertama.

"Ini kali pertama saya pegang watak hero dalam drama slot Akasia. Ini slot drama yang dimahukan ramai pelakon.

"Jadi, saya tidak tolak dan terus terima tawaran ini," katanya.

Aniq mengaku seronok bekerjasama dengan syarikat produksi berpengalaman biarpun ditawarkan pada saat-saat akhir.

"Saya adalah pengganti kepada pelakon asal. Namun, saya tidak ambil perkara itu sebagai sesuatu yang negatif.

"Saya percaya ini adalah rezeki saya. Jadi, saya berikan yang terbaik biarpun tidak banyak persediaan yang saya sempat buat.

"Alhamdulillah, saya dibantu pasukan produksi yang baik," katanya.

Diilhamkan daripada novel Sekali Lagi Cinta Kembali karya Anna Milia. Selain Aniq, Izzendra dan Zaki Azeman, drama ini dibintangi Siti Hariesa, Syamim Farid, Fazlina Ahmad Daud, Kismah Johar dan ramai lagi.