Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36

Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36

BERITA ABPBH

Angan-angan dalam karya

05 Dec 2021 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Nyata, penyanyi rap wanita, Sya memperjuangkan muzik rap tiada batasan hingga berjaya menjadi artis wanita pertama menembusi dan bernaung di bawah syarikat Def Jam South East Asia.

Mungkin nama Sya masih asing dalam dunia muzik tempatan, namun gadis berusia 23 tahun mula menjadi perhatian apabila muncul dengan single pertama berkolaborasi bersama penyanyi rap popular Singapura, Yung Raja menerusi single Pretty Girl Bop.

Terbaharu, Sya muncul dengan sebuah lagi karya hebat berjudul Madame. Madame adalah karya yang meluahkan keinginan dan buah fikiran penyanyi berasal dari Ampang itu.

Sya berkata, dari keinginan memiliki kereta mewah, Bentley kepada memiliki sebuah villa di Anguila, Timur Carribean, single Madame memberinya peluang berkhayal dan membayangkan bagaimana satu impian menjadi kenyataan.

"Sebenarnya, saya ingin memberikan semangat kepada pendengar supaya tampil berani dan mencapai kemampuan sebenar.

"Melodi single Madame dicipta secara spontan selepas saya melihat hantaran seorang gadis yang memakai rias kuku ala Perancis dengan hujung keemasan menerusi Instagram (IG).

"Maka, lahirlah kata-kata 'gold frenchie'. Dari situ, saya membayangkan seandainya mampu hidup semewah dan mempunyai emas di setiap hujung jari," katanya kepada BH Online.

Sya bekerjasama dengan DJ Ziqq menghasilkan single Madame tanpa rujukan, hanya petikan keyboard digunakan.
Sya bekerjasama dengan DJ Ziqq menghasilkan single Madame tanpa rujukan, hanya petikan keyboard digunakan.

Sya berkata, dia mula menulis apa yang diinginkan dan miliki suatu hari nanti.

"Sewaktu ilham datang, tiada rentak dan apa pun sama sekali. Hanya petikan jari sendiri dan tempo dalam kepala.

"Saya kemudian menyimpan ilham dalam nota suara telefon bimbit untuk tempoh yang agak lama. Saya tahu hanya penerbit tertentu sahaja yang mampu menghidupkan karya ini.

"Saya bernasib baik, apabila jurusolek, Bubu memperkenalkan saya kepada DJ Ziqq. Akhirnya, disebabkan peluang yang diberikan, saya berjaya menyiapkan karya ini," katanya.

Sya berkata, dia dan DJ Ziqq berjaya menghasilkan karya itu tanpa sebarang rujukan. Hanya dengan keyboard, akhirnya melodi single Madame terhasil.

"Kami menghasilkan rentak lagu ini dengan bersahaja, tiada sampel mahupun rujukan, sebaliknya hanya menggunakan keyboard sahaja.

"Apa yang membuatkan seronok apabila kepercayaan DJ Ziqq diberikan sewaktu kami bekerjasama. DJ Ziqq memberikan saya kebebasan untuk melakukan eksperimen dan sebab itu, ia menjadi lagu pertama. Moga bukan terakhir hasil karya saya sendiri.

"Walaupun mengambil sedikit masa, namun, sangat berbaloi. Ikatan dibina sepanjang bekerjasama sangat istimewa. Ini bermakna saya akan melakukan lebih banyak kolaborasi bersama DJ Ziqq pada masa depan," katanya.

Tampil bersama video muzik, Sya berharap, single Madame dapat menunjukkan kepada orang ramai kesungguhannya dan ingin kekal lama dalam industri muzik.

Single Madame dilancarkan di semua platform digital sejak 3 Disember lalu.

Lirik video rasmi berada di laman YouTube di saluran SYA VEVO pada hari yang sama jam 9 malam, manakala video muzik rasmi akan ditayangkan pada 10 Disember ini.