Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Mamat Khalid cukup memberi kesan kepada Pekin Ibrahim yang mendapat bimbingan pengarah terkenal itu hampir separuh daripada perjalanan karier sebagai pelakon.
Pekin atau nama sebenar, Mohd Iznan Ibrahim, berkata dia kerap membintangi karya arahan Mamat yang dianggap sutradara prolifik.
"Separuh masa saya dalam industri seni bersama arwah... Daripada (diberi) watak kecil hingga peranan utama.
"Arwah macam bapa saya. Arwahlah yang mengangkat saya menjadi pelakon 'berisi' daripada tiada apa-apa. Hingga saya terjun ke kancah filem hasil bimbingannya.
"Banyak ilmu pelbagai cabang saya serap dan belajar daripada arwah. Terlalu banyak momen kami berdua yang menjadikan saya Pekin Ibrahim seperti sekarang.
"Arwah jugalah yang marah saya kalau berlakon drama. Ingat lagi ayat arwah, kalau hendak main filem, jangan buat drama... Fokus di layar perak," katanya kepada BH Online.
Bersama arwah, Pekin membintangi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Rock Oo!, Apokalips X, Rumah Pusaka Di Simpang Jalan.
Pekin berkata, banyak perancangan arwah membabitkan dirinya tidak dapat dilunaskan sejak penularan pandemik COVID-19.
"Arwah hendak buat filem epik. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disusuli Pelan Pemulihan Negara (PPN), hasrat itu tertunda.
"Allah lebih sayangkannya," katanya.
Sementara itu, Que Haidar teringat rakaman iklan mempromosikan Putrajaya pada 2002 yang menjadi projek pertama sentuhan arwah yang dilakonkannya.
"Saya jayakan iklan itu bersama pelakon hebat lain termasuk Bront Palarae. Selepas itu arwah 'hadiahkan' saya karakter ikonik menerusi deretan filemnya seperti watak Amy Mat Piah dan Deris.
"Arwah yakin dan percaya bakat saya," katanya.
Sharifah Aleya juga tidak melupakan jasa Allayarham Mamat membentuk karakter Chah dalam filem Man Laksa yang dihasilkan pada 2006.
"Arwah yang bertanggungjawab memberikan salah satu watak yang diingati saya sampai sekarang.
"Arwah mewujudkan Chah, menghidupkan watak itu dan membuka laluan masa depan untuknya. Terima kasih abang Mamat kerana mengizinkan saya menghidupkan Chah," katanya.
Pelakon Avaa Vanja yang membintangi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan arwah, menganggap Mamat sebagai sifu.
"Arwah seperti abang dan guru saya. Dialah yang selalu memberi kata semangat usah lekas mengalah dalam hidup.
"Mana mungkin saya melupakan nasihat seperti bait kata-katanya berbunyi 'awak nak tenggelam atau bersinar'. Ia membuatkan saya tersentak.
"Arwah juga membantu menguruskan pengebumian bapa saya beberapa tahun lalu. Arwah tahu adik-beradik saya lebih ramai perempuan berbanding lelaki, jadi membantu saya," katanya.
Mamat atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, pada jam 12.30 tengah malam tadi.
Berita berkaitan: