KUALA LUMPUR: Pelawak Amir Raja Lawak menunjukkan perkembangan positif selepas keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan apabila tidak lagi memerlukan bantuan oksigen.
Bagaimanapun, Amir mengakui masih belum pulih sepenuhnya apabila berdepan kesukaran untuk berjalan dan bercakap dalam tempoh lama berikutan keadaan fizikalnya yang masih lemah.
Berkongsi perkembangan terkini menerusi hantaran di Facebook (FB), Amir berkata, dia masih mengalami sesak nafas walaupun sekadar berjalan beberapa langkah.
"Alhamdulillah sudah tak pakai oksigen. Cuma tak boleh berjalan atau bercakap banyak lagi ni. Saya cuba berjalan, tapi dua langkah pun semput cari nafas.
"Kat dahi dengan hidung tu kesan pakai mesin BiPAP semasa di ICU. Katanya saya kena sental dengan Vaseline nanti untuk bagi bersih dan nampak natural balik," katanya.
Pada masa sama, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi berkata, dia kini sudah boleh kembali berinteraksi dengan pengikut di media sosial meskipun belum mampu membalas semua komen seperti biasa.
"Baiklah dengan ini, kita sekarang sudah boleh mula bergurau atau bahan-membahan di media sosial, cuma komen-komen saya tak dapat balas semua macam dahulu," katanya.
Sebelum ini, Amir turut berkongsi pengalaman selepas lebih dua minggu terlantar di katil sehingga mengalami kesukaran untuk kembali berdiri dan berjalan.
"Dua minggu lebih duduk atas katil, lama tak berpijak di bumi yang nyata.
"Ingatkan rasa macam lembik lutut atau kebas-kebas bila bangun atau berdiri. Tapi dia rasa mencucuk-cucuk tapak kaki macam ada jarum," katanya.
Amir turut memaklumkan dia menjalani sesi fisioterapi sepanjang proses pemulihan, termasuk latihan menggunakan alat senaman pernafasan bagi membantu mengembalikan keupayaan paru-paru.
Pada 11 November lalu, Amir dimasukkan ke ICU akibat jangkitan kuman pada paru-paru sebelum dipindahkan ke wad biasa selepas lebih 10 hari menerima rawatan di unit berkenaan.