Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35
Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang
telah dipertandingkan pada tahun ini
KUALA LUMPUR: Jenazah pengarah filem, Allahyarham Azhari Mohd Zain, 50, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, Klang, pada jam 10.29 pagi tadi.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham Azhari dikapan dan disolatkan di Masjid Ar Raudah, Seksyen U10, Shah Alam.
Isterinya, Wahizatul Nureen Azmi bersyukur urusan pengebumian suami dipermudahkan Tuhan.
"Alhamdulillah, urusan pengebumian arwah suami lancar dengan dihadiri ramai rakan penggiat seni termasuk penuntutnya dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Mereka bukan sahaja datang untuk pengebumian malah berada di rumah saya sejak malam tadi.
"Insya-Allah dengan semangat dan doa dihulurkan, saya akan kuat... Terima kasih semua," katanya kepada BH Online.
Allahyarham Azhari yang mencipta nama dengan rangkaian filem terbitan Metrowealth Pictures pada era 1990-an, menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, tengah malam tadi.
Wahizatul Nureen memberitahu BH Online, Allahyarham Azhari menghembuskan nafas terakhir sebelum detik 12.30 tengah malam.
Akhir Mei lalu, BH Online melaporkan, Allahyarham Azhari berikhtiar mendapatkan rawatan alternatif seperti akupuntur dan urutan untuk memulihkan dirinya selepas diserang angin ahmar, Februari lalu.
Selepas tiga bulan terlantar di hospital, Azhari yang juga pensyarah kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM, dibenarkan pulang ke rumah pada 18 April lalu, untuk meneruskan sesi rawatan.
Memulakan kerjaya pada 2004, arwah menjadi penulis dalam banyak projek filem antaranya Tangkai Jering, Potret Mistik, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung dan Duyung.
Selain Jin Notti, arwah mengarahkan filem Santau, Zoo, Hantu Dalam Botol Kicap dan Mantra.
Allahyarham Azhari memiliki tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Wahizatul Nureen atau mesra disapa Nureen.