Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Allahyarham Azhari jaga solat di lokasi - Mawi

24 Nov 2022 | Serimah Mohd Sallehuddin

KUALA LUMPUR: Mawi tidak dapat melupakan sifat terpuji pengarah filem, Allahyarham Azhari Mohd Zain, 50, yang menjaga solat setiap kali melakukan penggambaran.

Berkongsi pengalaman, Mawi atau nama sebenar, Asmawi Ani memberitahu, Allahyarham Azhari sering mengimamkan solat bersama kru dan pelakon di lokasi setiap kali masuk waktu.

"Setiap kali tiba waktu solat, Azhari suruh semua kru berhenti untuk bersolat bersama. Biasanya, arwah mengimamkan solat kami.

Nureen menyedari kesihatan arwah suami agak merosot sejak seminggu lalu.
Nureen menyedari kesihatan arwah suami agak merosot sejak seminggu lalu.

"Itulah perkara yang paling saya tidak boleh lupa sehingga hari ini. Allahyarham juga sangat komited dengan kerja," katanya kepada BH Online.

Selepas sembilan bulan menderita angin ahmar, Allahyarham Azhari meninggal dunia di kediamannya di Sunway Alam Suria, Shah Alam, tengah malam tadi.

Allahyarham Azhari yang mencipta nama dengan rangkaian filem terbitan Metrowealth Pictures pada era 1990-an, menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Wahizatul Nureen Azmi, tengah malam tadi.

Nureen memberitahu BH Online, Allahyarham Azhari menghembuskan nafas terakhir sebelum detik 12.30 tengah malam.

Akhir Mei lalu, BH Online melaporkan, Allahyarham Azhari berikhtiar mendapatkan rawatan alternatif seperti akupuntur dan urutan untuk memulihkan dirinya selepas diserang angin ahmar, Februari lalu.

Selepas tiga bulan terlantar di hospital, Azhari yang juga pensyarah kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibenarkan pulang ke rumah di Shah Alam, pada 18 April lalu, untuk meneruskan sesi rawatan.

Azhari menjadi antara insan terawal yang membentuk kerjaya Mawi sebagai pelakon menerusi filem Jin Notti terbitan KRU Studios.

Mawi terkilan kerana tidak sempat menziarahi Azhari ketika hayatnya.

"Saya tahu mengenai keadaan arwah melalui akaun Instagram (IG) salah seorang rakan selebriti.

"Namun, saya tidak sempat meluangkan waktu menziarahi arwah. Saya doakan agar urusan perjalanan akhirnya lancar," katanya.