KUALA LUMPUR: Peneraju industri kosmetik organik, Alha Alfa Cosmetics diumum penaja utama Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari depan.
Pengasasnya, Datuk Alha Alfa, berkata dia komited menampilkan finalis AJL 37 dengan solekan lebih anggun menerusi barisan kosmetik bersesuaian tema 'Dimensi Muzik' berbekalkan pengalaman selama enam tahun sejak Alha Alfa Cosmetics mula dipasarkan.
"Kepada finalis membabitkan komposer, penulis lagu dan penyanyi, semoga sukses dan mari kita sama-sama 'mendimensikan' malam kemuncak AJL 37," katanya.
Lebih istimewa, Alha turut memperkenalkan kategori tambahan iaitu Anugerah Khas Penyanyi Pilihan Penaja Utama dan juga produk baharu sempena AJL 37.
"Kita akan mengeluarkan produk pertama dan satu-satu di Malaysia iaitu foundation yang mengandungi serum kolagen. Ia bukan hanya mencantikkan, tetapi boleh merawat kulit.
"Ada sebahagian yang hanya bersolek tanpa menjaga kulit, jadi saya memudahkan mereka yang mahu bersolek, sambil menjaga kulit.
"Jangan lupa bagi sesiapa yang mahu mendapatkan produk Alha Alfa Cosmetics, kena tonton AJL 37," katanya.
Terdahulu, TV3 dalam kenyataan menyebut, Alha Alfa Cosmetics bakal menghangatkan acara yang memartabatkan lagu terbaik, tahun ini.
"Pembabitan Alha Alfa Cosmetics sudah tentu memberi keceriaan kepada finalis AJL 37 untuk tampil lebih anggun dengan lebih 100 jenis produk kosmetik sesuai sebagai solekan tema AJL 37 iaitu 'Dimensi Muzik'.
"Ini sejajar dengan slogan Alha Alfa Cosmetics iaitu 'Perbezaan Itu Adalah Keunikan Kita'," kata kenyataan itu.
Alha Alfa Cosmetics diasaskan usahawan muda dan jurusolek terkenal, Alha atau nama sebenarnya, Datuk Seri Abdul Al Halim Al Fadzil.
Pada usia muda, Alha menjadi ikon kepada ramai jurusolek kerana kejayaan dalam bidang pengeluaran produk kosmetik dan membina empayar perniagaan menerusi penjenamaan Alha Alfa Cosmetics.
Alha Alfa Cosmetics adalah syarikat peneraju industri kosmetik organik yang memperkenalkan penjenamaan Alha Alfa Cosmetics dengan formulasi yang bebas daripada bahan berbahaya dan berisiko.
Penonton boleh menyaksikan kerjasama Alha Alfa Cosmetics dan TV3 pada AJL 37 yang disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari depan, jam 9 malam.
Penonton juga boleh strim langsung AJL 37 di platform penstriman Tonton.
Seramai 12 finalis berentap pada AJL 37 iaitu Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu Terus Hidup hasil ciptaan beliau sendiri dan Ernie Zakri yang menepati ramalan apabila lagu Korban ciptaannya, mara ke pentas akhir.
Selain itu, lagu Bahagiakan Dia ciptaan penyanyi muda, Alif Iskandar dengan lirik dihasilkan Alif dan Que Afiq. Lagu ini dinyanyikan secara duet oleh Shila Amzah dan Liza Hanim.
Sembilan lagi lagu yang layak ke AJL37 ialah Suatu Malam Di Temasek dendangan Joe Flizzow dan SonaOne ciptaan SonaOne dengan lirik dihasilkan SonaOne dan Joe Flizzow; Anugerah Terindah (Alif Satar & The Locos/ciptaan Alif Satar, Romeo, Tam Cobain, Arwis/lirik Alif, Shah Shamshiri dan Romeo); Debu (Dayang Nurfaizah, Amir Masdi/ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim).
Turut bersaing, Kembali Terang (Marsha Milan/ciptaan Senna dan Ajin/lirik Senna); Nang (Iman Troye/ciptaan Ezra Kong dan A Ramle) serta Payung Pelangi (Noki, MK/ciptaan dan lirik Noki, MK).
Tidak ketinggalan, Sengsara (Khai Bahar/ciptaan Johm Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K); Irama (Shiha Zikir/ciptaan Qie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves) dan Mainan (Naim Daniel/ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga/lirik Arizs Ab Rahman).
Julung kali menggandingkan dua hos wanita, Sherry Alhadad dan Jihan Muse bagi mengemudi acara itu.
Produksi AJL 37 diketuai Pengurus Projek, Russell Mark Rodrigues, Penerbit Eksekutif, Jamil Hassan dan Penerbit, Shahrizan Razalii.